SEGAMAT – Universiti Utara Malaysia (UUM) menubuhkan jawatankuasa dalaman bagi melakukan siasatan terperinci terhadap insiden kemalangan bas di dalam kampus induk Sintok, Kedah sehingga meragut nyawa pelajar, Manarina Hasya Mohamad Karim, 22, kelmarin.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, pihak universiti juga akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan punca yang menyebabkan kemalangan tersebut.
“Apa yang berlaku Universiti Utara Malaysia masih lagi dalam siasatan, pihak kita juga telah menubuhkan jawatankuasa siasatan UUM.
“Kita (UUM) menyerahkan juga kepada pihak berkuasa (PDRM) untuk menjalankan siasatan punca yang menyebabkan kemalangan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas selesai pengkebumian Allahyarhaman Manarina Hasya di Tanah Perkuburan Islam Felda Chempelak, Labis di sini semalam.
Terdahulu, jenazah pelajar semester keempat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan itu selamat disemadikan pada pukul 11.45 malam yang dihadiri kira-kira 200 orang terdiri kenalan, pihak pengurusan UUM, saudara-mara serta penduduk kampung.
Dalam pada itu, Ahmad Martadha berkata, UUM akan berusaha membantu sebaik mungkin keluarga arwah Manarina Hasya supaya mereka berada dalam keadaan baik.
Jelasnya, pihak universiti turut berbesar hati untuk menyalurkan apa jua bentuk bantuan selepas ini kepada keluarga arwah.
Kosmo! pada Sabtu lalu melaporkan, Manarina Hasya dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah selepas cedera parah akibat dirempuh bas ketika beratur di sebuah perhentian di Jalan Persiaran Perdana, Kampus UUM Sintok kira-kira pukul 8.45 pagi.
Bagaimanapun, anak sulung empat beradik itu menghembus nafas terakhir kira-kira pukul 6.30 petang ketika mendapatkan rawatan kecemasan.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, hasil bedah siasat selama dua jam di Jabatan Forensik HSB mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan lebam pada jantung akibat hentakan kenderaan.-KOSMO! ONLINE