AMPANG – Seorang pengetua sebuah tadika didenda maksimum RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap anak murid perempuannya berusia enam tahun dengan memulas telinga kanak-kanak itu selepas tersalah tulis huruf G, tahun lalu.
Hakim Nurulizwan Ahmad Zubir menjatuhkan hukuman denda itu selepas tertuduh yang berusia 61 tahun itu mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan wanita itu dipenjara 20 hari jika gagal membayar denda dan tertuduh membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak perempuan itu dengan cara memulas telinga mangsa di sebuah tadika di sini pada pukul 11.30 pagi pada 6 Mac tahun lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, peguam Jenifer Irithusamy yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman denda minimum serta memberi peluang kepada anak guamnya menentukan kehidupan ke arah lebih baik.
“Tertuduh adalah ibu tunggal dan mempunyai dua anak, bekerja sebagai pengetua di tadika dengan pendapatan RM3,000 sebulan. Tertuduh memohon maaf kepada mahkamah, polis dan mangsa kerana perbuatan ini dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan sama lagi,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon hukuman setimpal dan mahkamah mengambil kira kepentingan awam melebihi daripada kepentingan peribadi serta pengakuan bersalah bukan automatik untuk mendapatkan hukuman ringan.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian ibu kandung mangsa yang berusia 37 tahun dimaklumkan oleh anak sulungnya berusia 10 tahun pada 6 Mac 2024 mengatakan adiknya (mangsa) dipukul oleh tertuduh dengan menggunakan pen ‘marker’ di bahagian tangan kanan.
Tertuduh juga menarik serta memulas telinga mangsa kerana tersalah menulis huruf G, hasil pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan terdapat kecederaan tisu lembut pada telinga kanan mangsa. – KOSMO! ONLINE!