‘Raja dadah’ Ecuador diekstradisi ke Amerika Syarikat

8 hours ago 4

QUITO – Kerajaan Ecuador semalam mengekstradisi pengedar dadah terkenal Adolfo Macias, alias ‘Fito’  ke Amerika Syarikat(AS), sebulan selepas dia ditangkap semula setelah melarikan diri dari penjara kawalan keselamatan maksimum pada 2024, kata pihak berkuasa.

Pejabat Pendakwa Raya AS memfailkan pertuduhan pada April lepas terhadap Macias. Ketua kartel dadah Los Choneros itu berdepan dakwaan pengedaran kokain, konspirasi dan jenayah senjata api termasuk penyeludupan senjata.

Surat difailkan Jabatan Kehakiman AS semalam mengatakan, Macias dijadualkan hadir di mahkamah persekutuan hari ini untuk tujuan pendakwaan.

Ketua kartel dadah itu dikeluarkan dari penjara keselamatan maksimum di barat daya Ecuador untuk proses ekstradisi, kata pihak berkuasa penjara Ecuador, SNAI dalam satu kenyataan kepada wartawan.

Macias bersetuju di mahkamah Quito minggu lalu untuk diekstradisi ke AS bagi menghadapi pertuduhan.

Dia ialah rakyat Ecuador pertama diekstradisi ke luar negara sejak undang-undang baharu diperkenalkan oleh Presiden Daniel Noboa untuk memperhebatkan perang terhadap kumpulan penjenayah.

Ecuador yang dahulunya aman walaupun terletak di antara dua pengeksport kokain terbesar dunia iaitu Colombia dan Peru, menyaksikan peningkatan keganasan sejak beberapa tahun lalu apabila geng-geng dadah mempunyai hubungan dengan kartel Mexico serta  Colombia bertempur untuk merebut kawasan dan penguasaan kokain.

Tidak lama selepas Macias melarikan diri dari penjara pada Januari 2024, Noboa mengisytiharkan Ecuador berada dalam situasi ‘konflik bersenjata dalaman’  dan mengarahkan tentera serta kereta kebal ke jalan-jalan raya untuk  menghapuskan kumpulan penjenayah.

Langkah beliau dikritik oleh organisasi hak asasi manusia.

Los Choneros yang diketuai Macias mempunyai hubungan dengan kartel dadah Sinaloa Mexico, Gulf Clan Colombia iaitu pengeksport kokain terbesar dunia dan geng mafia rantau Balkan.

Kerajaan Ecuador sebelum ini menawarkan ganjaran AS$1 juta (RM4.2 juta) untuk maklumat yang membawa kepada penangkapannya. Macias ditangkap semula pada 25 Jun lepas di sebuah rumah mewah di pelabuhan perikanan Manta.

Lebih 70 peratus daripada semua kokain yang dihasilkan di dunia diseludup melalui pelabuhan Ecuador, demikian menurut data kerajaan.

Pada 2024, negara itu merampas rekod 294 tan dadah, terutamanya kokain. – AFP 

Read Entire Article
Pertanian | | | |