KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang memperhalusi kaedah terbaik bagi melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 bagi memastikan langkah tersebut tidak memberi kesan negatif kepada rakyat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri telah menekankan bahawa sebarang keputusan berkaitan subsidi perlu dilaksanakan dengan penuh berhati-hati.
“Perdana Menteri ada menyatakan pandangan bahawa beliau tidak mahu pelaksanaan dasar-dasar yang akan mendatangkan kesan yang negatif kepada majoriti rakyat.
“Itulah antara sebab kenapa setelah pelaksanaan beberapa dasar sebelum ni sama ada penyasaran semula subsidi diesel dan beberapa ikhtiar yang lain kita lihat perlu ada sedikit penelitian,” katanya ketika sidang akhbar mingguan di Parlimen di sini hari ini.
Fahmi berkata, perkara tersebut turut dibincangkan dalam permukiman bersama ahli-ahli Parlimen baru-baru ini, dan kerajaan komited memastikan setiap langkah diambil dengan mengambil kira kebajikan rakyat dan kestabilan ekonomi negara.
“Perlu pastikan tidak ada kesan knock on effect yang negatif maka kalau kita lihat dalam isu peluasan skop SST juga ada beberapa perkara yang telah diteliti setelah diumumkan maka beberapa penyesuaian dilaksana.
“Samalah juga dengan dasar-dasar yang belum dilaksana, tapi telah dibayangkan ataupun disebut sebelum ini mengenai RON95,” katanya.
Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan kerajaan akan mengumumkan mekanisme lengkap bagi melaksanakan penyelarasan subsidi minyak petrol RON95 kepada rakyat selepas separuh pertama tahun ini dengan menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua kadar harga.
Beliau berkata, pembangunan mekanisme pelaksanaan langkah yang disasarkan dapat mengukuhkan kewangan negara sedang diperhalusi dengan kerajaan tidak mahu mengumumkan sesuatu pelaksanaan dasar secara terburu-buru. – KOSMO! ONLINE