PETALING JAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuat laporan polis susulan laporan palsu yang dibuat pempengaruh, Tengku Nizaruddin Tengku Tengku Zainudin.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar, Johor pukul 11.30 pagi semalam.
Ujarnya, tindakan tersebut diambil ajar hukuman setimpal dikenakan kepada pelaku yang dianggap telah memperkotak-katikkan imej anggota penyelamat.
“Kita kesal atas tindakan pelaku yang sangat tidak bertanggungjawab. Perbuatan tersebut sangat dicela. Tindakannya itu mendatangkan kerugian besar selain merisikokan nyawa penyelam.
“Paling kita marah adalah imej anggota penyelamat diperkotak-katikkan sedangkan kita ambil serius dengan isu melibatkan nyawa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Dalam operasi SAR di Sungai Tui, Bukit Kepong, yang berlangsung selama empat hari bermula sejak 15 Julai lalu, sekurang-kurangnya seramai 30 pegawai dan anggota bomba dari Muar, Labis dan Pagoh dikerah ke lokasi kejadian.
Bagaimanapun, kehilangan Ija, 38, akhirnya terungkai apabila adik mangsa membuat laporan palsu mengatakan abangnya hilang ketika dalam perjalanan dari Johor Bahru untuk membaiki kereta ke Muar.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz dilaporkan berkata, hasil siasatan mendapati terdapat keraguan terhadap laporan yang dikemukakan dan polis percaya bahawa kejadian itu adalah direka untuk kepentingan peribadi.
“Siasatan juga mendedahkan mangsa disyaki menenggelamkan kereta Perodua Axia milik isterinya di Sungai Tui, Lenga, Bukit Kepong sebelum melarikan diri ke negara jiran.
“Adik mangsa turut mengaku dia turut bersubahat dan berpura-pura menjalankan usaha mencari mangsa bagi mengaburi siasatan pihak polis,” katanya. – KOSMO! ONLINE