SELAYANG – Lima lelaki termasuk empat beradik dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan berhubung pencemaran air di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang lima tahun lalu.
Mereka ialah empat pengarah sebuah syarikat yang juga adik-beradik Yip Kok Wai, 58, Yip Kok Mun, 63, Yip Kok Kuin ,55, dan Yip Kok Weng, 65, serta seorang pengurus syarikat yang sama, Ho Voon Leong, 64.
Hakim Nor Rajiah Mat Zin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan prima facie diakhir kes pendakwaannya.
“Selepas mendengar dan membuat penilaian secara maksimum mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap semua tertuduh atas dua pertuduhan itu. Oleh itu, kesemua tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri,” kata hakim Nor Rajiah.
Dengan keputusan itu, Hakim Nor Rajiah turut memerintahkan wang jaminan RM400,000 dan pasport setiap tertuduh dikembalikan.
Dalam perbicaraan kes yang bermula pada 2022 seramai 22 saksi orang pendakwaan di memberi keterangan.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Hakimah Ibrahim manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam Datuk M Redza Hassan dan Abdul Rashid Ismail.
Mengikut pertuduhan pertama, kelima-lima tertuduh didakwa dengan niat bersama telah melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya dari Bengkel Yip Chee Seng&Sons Sdn. Bhd. dilupuskan ke dalam alur air.
Ia kemudian mengalir ke dalam Sungai Gong, Rawang dengan mengetahui bahawa ia mungkin akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan niat bersama telah melepaskan bahan buangan sama dari bengkel sama tanpa lesen yang didakwa mengikut Seksyen 25(1) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 25(3) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di premis Yip Chee Seng&Sons Sdn. Bhd. Lot 4219, Jalan Batu Arang, Kampung Sungai Dua, Rawang di sini antara 2 hingga 3 September 2020.
Sebelum ini lima lelaki itu, menarik nafas lega selepas masing-masing dibenarkan ikat jamin RM400,000 oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Norsharidah Awang memutuskan demikian terhadap kelima-lima tertuduh selepas meneliti dan menimbangkan hujah-hujah yang dikemukakan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan. – KOSMO! ONLINE