Penalti hancur impian Hakim Danish

3 weeks ago 19

IMPIAN pelumba remaja negara, Hakim Danish Ramli untuk merangkul gelaran keseluruhan Red Bull MotoGP Rookies Cup tampak sukar selepas ‘tergelincir’ dalam carta kedudukan apabila terlepas podium di Austria kelmarin.

Aksi di Litar Red Bull Ring itu menjadi titik kekecewaan buat anak jati Terengganu tersebut apabila terpaksa berpuas hati di tempat ke-13 perlumbaan kedua selepas dikenakan penalti long lap.

Hakim Danish, 18, bermula dari petak kesembilan dan berjaya memintas beberapa pelumba untuk menempatkan diri dalam kelompok hadapan, malah sempat bersaing sengit merebut kedudukan podium.

Namun, ketika di kedudukan ketiga, nasib tidak menyebelahinya apabila didapati melanggar had litar trek dan situasi itu menyebabkan Hakim Danish hanya menamatkan perlumbaan di tempat ke-13.

“Perlumbaan agak baik, saya berjaya kejar kumpulan hadapan, namun saya tersentuh garisan had litar dan dikenakan penalti long lap,” kata Hakim.

HAKIM DANISH terlepas peluang menaiki podium di Austria apabila mengakhiri perlumbaan di tempat ke-13 kelmarin.

Walaupun cuba bangkit di baki pusingan terakhir, usahanya untuk kembali mencabar podium tidak kesampaian kerana jarak sudah terlalu jauh dengan kelompok hadapan.

Keputusan itu menyebabkan Hakim Danish jatuh ke tangga ketiga keseluruhan dengan 165 mata, ketinggalan 26 mata di belakang pendahulu, Brian Uriarte dari Sepanyol (191 mata), manakala Veda Ega Pratama dari Indonesia berada di tempat kedua (170 mata).

Bagaimanapun, Hakim Daniah enggan terus dibayangi kekecewaan dan berazam bangkit pada pusingan terakhir di Misano, Itali bulan depan.

“Saya cuba kejar balik kumpulan hadapan, malangnya tidak sampai. Apapun, saya kekal dengan motivasi saya dan kekal berjuang menjelang perlumbaan terakhir di Misano nanti,” tambahnya.

Walaupun peluang muncul juara semakin tipis, Hakim Danish perlu memastikan 50 mata bersih menjadi miliknya agar dia mampu mengakhiri perlumbaan Red Bull Rookies dengan kejayaan manis di Misano. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |