
- Oleh SITI A'ISYAH SUKAIMI
- 5 September 2025, 12:40 am
SEBERANG PERAI – Seorang pemuda terselamat selepas kereta jenis Toyota Lexus yang dia pandu terbabas ke dalam sungai di Jalan Permatang Nibong, Permatang Pauh di sini, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 9.30 malam.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Penanti digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan operasi penyelamatan.
“Sebuah kereta Toyota Lexus terbabas ke dalam sungai dan mangsa berusia 29 tahun diselamatkan oleh orang awam sebelum dihantar ke hospital sebelum pihak bomba tiba di lokasi,” katanya.
Beliau berkata, operasi menyelamat tamat pada pukul 9.54 malam tadi. -KOSMO! ONLINE