Peluang terbaik Jun Hao lunas dendam

2 weeks ago 15

PETALING JAYA – Aksi pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Indonesia Masters yang akan berlangsung di Jakarta bermula esok bakal menyajikan aksi menarik antara perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao dan Weng Hong Yang dari China.

Kedua-dua pemain itu sekali lagi akan membuat perhitungan selepas bertemu pada pusingan kedua Terbuka India yang menyaksikan Hong Yang mencatat kemenangan dan melangkah ke suku akhir.

Justeru, pertemuan semula di pusingan pertama Indonesia Masters menjadi peluang terbaik untuk Jun Hao menebus kekalahan kepada pemain yang berada pada ranking ke-21 Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu.

Ketua jurulatih perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen menganggap perlawanan itu nanti merupakan peluang buat anak buahnya untuk mencabar Hong Yang dan membuktikan kemampuan.

“Satu lagi peluang buat Jun Hao untuk belajar bagaimana memberikan cabaran kepadanya (Hong Yang). Dia perlu berjuang dan lawan Hong Yang di setiap mata permainan.

“Sekarang kedua-dua pemain sudah tahu corak permainan masing-masing, jadi cukup menarik untuk melihat apa yang sudah dipelajari. Saya akan memantau aksinya dari Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Terdahulu, hasrat Jun Hao untuk meneruskan kemaraan ke suku akhir Terbuka India lebur selepas tewas 18-21, 12-21 kepada Hong Yang meskipun di pusingan pertama dia berjaya menewaskan pilihan kelima juga dari China, Li Shi Feng.

Justeru, Jonassen berpesan supaya bekas juara remaja Asia itu mengekalkan keyakinan diri kerana menganggap pemain-pemain ternama, terutamanya dari China mampu mengambil kesempatan sekiranya terleka.

“Kekalahan kepada Hong Yang sebelum ini adalah disebabkan kita memberi peluang kepadanya untuk mendominasi. Jika kita hilang keyakinan ketika menentang pemain China, memang sukar untuk berdepan dengan mereka,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |