SKUAD hoki lelaki negara kini memasuki fasa penting apabila seramai 30 pemain diberi peluang merebut tempat bersama Speedy Tigers menjelang Kejohanan Kelayakan Piala Dunia 2026 yang dijadual berlangsung di Ismailia, Mesir dari 1 hingga 7 Mac depan.
Sesi latihan kebangsaan bermula pada 29 Disember itu menyaksikan barisan kejurulatihan memanggil lima penjaga gol, 10 pertahanan, lapan pemain tengah dan tujuh penyerang termasuk enam tenaga muda yang beraksi di Piala Dunia Remaja 2025 di India baru-baru ini.
Enam pemain muda tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada pelan jangka sederhana pasukan kebangsaan untuk membina kesinambungan tanpa menjejaskan sasaran jangka pendek.
Ketua jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh menjelaskan kemasukan pemain muda bukan sekadar pelaburan masa depan, sebaliknya langkah strategik untuk mewujudkan saingan sihat dalam pasukan.
“Kami inginkan suntikan baru dalam pasukan dan hadirnya enam pemain-pemain muda ini memberikan sesuatu yang baru dan lebih segar buat pasukan.
“Ini juga akan menghadirkan saingan kompetitif yang lebih sihat, di mana setiap pemain pasti akan bekerja lebih keras untuk memastikan tempat mereka dalam pasukan kebangsaan,” katanya.
Menurut Sarjit, pemilihan pemain muda itu dibuat secara teliti berdasarkan beberapa kriteria utama, termasuk prestasi, disiplin serta kefahaman taktikal yang ditunjukkan sepanjang bersama pasukan remaja dan kejohanan antarabangsa.
Sebagai sebahagian daripada persiapan menuju kelayakan Piala Dunia, skuad itu akan mengadakan siri jelajah ke Perth, Australia pada Januari bagi menghadapi lima perlawanan persahabatan menentang pasukan kebangsaan Australia dan kelab dari Western Australia.
Siri perlawanan itu akan menjadi medan penting buat Sarjit dan barisan kejurulatihan menilai tahap kesediaan sebenar setiap pemain sebelum senarai akhir Speedy Tigers bagi misi kelayakan Piala Dunia 2026 dimuktamadkan.

2 weeks ago
19


![[VIDEO] Rupa-rupanya dia nak jadikan bumi Anbiya itu rumahnya – Suami Nadia Kesuma](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/Tangkap-layar-video-Muhammad-Kamarul-tengah-bersama-pihak-Nuh-Travel-semasa-di-KLIA-Sepang-sebelum-berlepas-ke-Jeddah-petang-tadi..jpeg)











































