Pelantikan Ketua Hakim Negara baharu disambut baik

6 hours ago 4

PETALING JAYA – Ahli-ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat menyambut baik pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu, namun menegaskan usaha memperkukuhkan kebebasan badan kehakiman perlu diteruskan tanpa kompromi.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, sembilan wakil rakyat parti itu turut mengalu-alukan pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak yang melengkapkan struktur tertinggi badan kehakiman negara.

Mereka berharap barisan kepimpinan baharu ini dapat meneruskan legasi kecemerlangan yang ditinggalkan Tun Tengku Maimun Tuan Mat, khususnya dalam menjamin kebebasan institusi kehakiman daripada sebarang pengaruh luar.

“Reaksi awal kepada pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid adalah bercampur-campur, memandangkan latar belakang beliau yang pernah menjadi pemimpin UMNO suatu ketika dahulu dan dilihat lebih junior berbanding sebahagian hakim-hakim yang lain.

“Kami berharap sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu, Datuk Wan Ahmad Farid menerima pelbagai pandangan ini dengan terbuka,” kata mereka.

Bagaimanapun, mereka mengingatkan bahawa masih banyak perkara yang perlu diberi perhatian, termasuk menyelesaikan kekosongan 31 jawatan hakim dan memastikan proses pelantikan hakim dibuat secara telus serta berasaskan merit.

Ahli-ahli Parlimen PKR itu juga menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan wujud campur tangan dalam pelantikan hakim serta menggesa agar isu-isu yang dibangkitkan dalam mesyuarat JAC sebelum ini disiasat secara menyeluruh.

Antara cadangan yang dikemukakan ialah supaya kuasa Perdana Menteri menolak calon JAC dihadkan, pelantikan wakil guaman ke dalam JAC dilakukan secara automatik, dan Parlimen dilibatkan dalam proses pengesahan calon seperti amalan di beberapa negara lain.

“Kemelut pelantikan kepimpinan badan kehakiman mutakhir ini menunjukkan perlunya reformasi untuk mengukuhkan lagi proses lantikan hakim, supaya perkara ini tidak berulang lagi.

“Kami berharap pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memandang perkara ini telah selesai sepenuhnya, selagi penambahbaikan kepada proses lantikan badan kehakiman tidak dibentangkan kepada rakyat dan dilaksanakan,” katanya.

Kenyataan tersebut ditandatangani Rafizi Ramli (Pandan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Wong Chen (Subang), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), S. Kesavan (Sungai Siput) dan Onn Abu Bakar (Batu Pahat). – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |