PETALING JAYA – Satu pelan hala tuju komprehensif bagi memacu pembangunan sukan badminton negara ke tahap lebih tinggi bakal dibentangkan pada hujung Ogos ini.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pelan strategik itu akan menjadi rujukan utama bagi tempoh tiga, lima dan 10 tahun akan datang.
Beliau berkata, perancangan itu hanya akan dimuktamadkan sejurus selesai sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk bekas pemain, jurulatih, penaja serta agensi sukan kerajaan seperti Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).
“Kita perlu faham di mana kita berada hari ini sebelum menentukan sasaran. Kalau hari ini kita berada pada tahap dua atau tiga dan mahu ke tahap 10, maka kita mesti tahu apa yang perlu dilakukan untuk mencapainya.
“Setakat ini, saya mendapat kerjasama yang baik daripada ramai pihak. Saya percaya, dengan sokongan ahli majlis, pemain dan semua pihak berkepentingan, kita boleh meletakkan sukan badminton Malaysia kembali ke landasan kejayaan.
“Saya harap pada akhir Ogos, saya boleh kongsikan pelan rancangannya dengan anda semua. Biarpun kejayaan tidak boleh berlaku dalam sekelip mata, tetapi sekurang-kurangnya kita ada sasaran untuk tiga tahun akan datang, lima tahun akan datang dan 10 tahun akan datang.
“Setakat ini, perkara positifnya ialah semua orang nampaknya bersemangat tentang sukan ini. Sesetengah mereka mempunyai pandangan yang berbeza dan mereka mahu berkongsi.

“Ini bermakna mereka mahu melihat penambahbaikan dalam sukan ini. Kadang-kadang anda bersetuju, kadang-kadang tidak bersetuju dengan idea-idea itu.
“Tetapi yang penting bagi saya bukan tentang, anda tahu, sama ada idea mana yang betul atau idea mana yang salah. Bagi saya, semua orang mahu melihat sukan badminton ini menjadi lebih baik.
“Saya harap menjelang akhir Ogos, apabila saya bentangkan, sama ada setuju atau tidak, kita semua perlu bersatu padu dan terus menjadi salah satu kisah kejayaan utama untuk sukan Malaysia,” katanya ketika ditemui sesi rahmah mesra bersama wakil media di ibu negara, hari ini.
Tegas beliau, proses yang bakal mereka putuskan itu bermula dengan penilaian kedudukan semasa yang menyeluruh meliputi aspek kewangan, struktur tadbir urus, kejurulatihan, infrastruktur serta pembangunan akar umbi.
“Bagi saya, semua ini perlu disatukan. Sebab itu ia agak kompleks. Bila saya jumpa semua orang, memang jangkaan tinggi. Saya tidak mengatakan apa-apa yang buruk tentang ekosistem badminton semasa hari ini, tapi saya rasa banyak kerja yang perlu dilakukan.
“Bagi saya, yang paling penting pada akhirnya ialah mentaliti, Mentaliti pemain dan mentaliti pengurusan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE