
- Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
- 5 September 2025, 12:22 am
LUMUT – Seorang pelajar tingkatan tiga maut, manakala rakannya parah selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Lekir, dekat sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian yang berlaku di hadapan Sekolah Kebangsaan Batu 10 Lekir itu, penunggang skuter, Muhammad Hafizuddin Zafri Hazwan, 15, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah.
Pembonceng yang berusia 15 tahun pula mengalami kecederaan patah kaki dan dirawat di Hospital Seri Manjung. Pemandu Proton Exora dilaporkan turut cedera.
Kedua-dua pelajar itu dipercayai dalam perjalanan pulang dari Sekolah Menengah Kebangsaan Batu 10. Nahas dipercayai berlaku sewaktu jalan raya licin selepas hujan.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman ketika dihubungi malam ini mengesahkan kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE