Peguam Thailand tawar RM1.3 juta bela penyanyi ‘sohor’ Kelantan

3 months ago 52

NARATHIWAT, THAILAND – ‘Ada dua peguam dari Thailand masing-masing tawar 10 juta Bath (RM1.3 juta) untuk bela kes saya di mahkamah. Mana saya ada duit sebanyak itu’

Itu kata seorang penyanyi wanita tersohor Kelantan yang ditangkap bersama 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel di Golok dekat sini pada 1 November lalu ketika ditemui beberapa pemberita semasa diberikan kebenaran eksklusif selama 40 minit untuk melawat wanita berusia 28 tahun itu di Penjara Wilayah Narathiwat di sini semalam.

Penyanyi itu berkata, hal pelantikan peguam itu diuruskan oleh ahli keluarganya di Malaysia dan dia sangat terkejut apabila mendengar sebut harga yang ditawarkan oleh firma guaman di sini.

Menurutnya, dia tidak menyangka bahawa pelantikan peguam di negara ini melibatkan kos yang mahal sekali gus menyebabkan dia masih tiada pasukan pembelaan meskipun lebih 50 hari berada di dalam tahanan reman.

“Ahli keluarga memaklumkan bahawa dua peguam itu masing-masing menawarkan harga 10 juta Bath (RM1.3 juta) untuk bela saya di mahkamah. Saya terkejut. Mana saya ada duit banyak itu untuk lantik peguam dengan harga tersebut.

“Saya bimbang mereka mahu mengambil kesempatan terhadap kes ini. Saya tidak boleh lantik peguam Malaysia, hanya boleh ambil peguam dari sini sahaja.

“Bukan tidak mahu mengambil peguam yang disediakan oleh kerajaan Thailand. Cuma saya takut susah untuk lepas dalam kes ini dan ramai yang mencadangkan untuk melantik peguam luar. Kemungkinan untuk menang itu besar,” katanya.

Dalam sesi lawatan itu, pihak media turut diberikan akses untuk bertemu mata dengan dua lagi tahanan wanita yang turut ditahan bersama penyanyi itu pada 1 November lalu.

Terdahulu, penyanyi yang terkenal dengan lagu Bey Soba Bey itu dan lima individu yang ditangkap bersama 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel di Golok dekat sini.

Selain itu, ujian saringan air kencing terhadap tiga lelaki dan tiga wanita itu mendapati kesemua mereka positif dadah.

Dalam pada itu, penyanyi itu berkata, dia dan salah seorang rakannya yang ditahan di penjara itu ketika ini masih dalam fasa berkira-kira untuk melantik peguam atas faktor kewangan.

Menurutnya, dia bagaimanapun sangat memerlukan pasukan pembelaan yang kuat untuk membelanya di mahkamah semasa prosiding perbicaraan kelak.

“Saya masih tidak tahu perjalanan kes yang bakal dilalui selepas ini. Saya ‘blur’ (samar-samar) lagi. Tidak tahu apa akan jadi pada masa depan.

“Tiada pihak (peguam) yang boleh memberi nasihat atau bimbingan kepada saya dalam kes ini. Buat masa ini, saya hanya pergi ke mahkamah setiap 12 hari untuk sesi siasatan.

“Bagaimanapun, saya tidak menolak kemungkinan akan mengambil peguam kerajaan selepas ini jika tiada pihak luar yang betul-betul mahu membantu dalam kes ini,” ujarnya.

Sementara itu, seorang tahanan berusia 32 tahun yang ditangkap bersama-sama penyanyi itu berkata, ahli keluarganya turut memaklumkan bahawa ada beberapa peguam menawarkan harga yang sama untuk membelanya di mahkamah semasa prosiding pendakwaan selepas ini.

Menurut wanita itu, keluarganya juga tiada kemampuan untuk melantik peguam sekiranya sebut harga itu dikekalkan oleh pihak firma guaman luar.

“Harga peguam di sini mahal. Memang tidak mampu untuk saya melantik peguam. Saya juga mungkin akan mengambil peguam kerajaan sahaja,” katanya.

Seorang lagi tahanan berusia 25 tahun pula berkata, buat masa ini, dia seorang sahaja daripada dua rakannya itu yang melantik peguam yang ditawarkan oleh kerajaan Thailand.

Menurutnya, buat masa ini, dia reda dengan segala ketentuan dan berharap mendapat pembelaan semasa sesi pendakwaan dan perbicaraan kelak.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, kerajaan Thailand menawarkan khidmat guaman kepada kesemua enam rakyat Malaysia termasuk seorang penyanyi sohor Kelantan termasuk penterjemah bahasa untuk proses membela diri.

Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kolonel Polis Jadsadavit Inprapan berkata, bagaimanapun, terpulang kepada suspek untuk menerima perkhidmatan yang disediakan atau mengambil peguam lain bagi membantu mereka di mahkamah.

Jadsadavit menegaskan bahawa pihaknya sudah mempunyai bukti yang cukup dan tidak perlu untuk memanggil saksi lain bagi membantu siasatan berhubung kes penahanan enam rakyat Malaysia ekoran penemuan 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel di sini baru-baru ini.

Menurutnya, penemuan pil kuda dan ujian saringan awal air kencing kesemua suspek berusia 25 hingga 34 tahun itu merupakan bukti yang paling kuat untuk menahan reman mereka dalam tempoh 84 hari atau hampir tiga bulan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |