Pastikan guna visa haji sah sahaja

6 hours ago 3

KUCHING – Umat Islam di Malaysia yang ingin menunaikan haji diingatkan untuk menggunakan visa haji sah sahaja selaras dengan peraturan dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi dan tidak terperdaya dengan mana-mana tawaran pakej haji yang mencurigakan.

Pengarah Wilayah Sabah dan Sarawak Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Nurlaila Said menegaskan, tindakan cuba menunaikan haji tanpa visa yang sah bukan sahaja melanggar undang-undang Arab Saudi, malah boleh mendatangkan kesulitan besar kepada diri sendiri, termasuk dikenakan denda berat, dihantar pulang dan disenarai hitam daripada memasuki Arab Saudi dalam tempoh lama.

“Bakal-bakal haji sekalian menjadi agen penyebar maklumat bagi membantu pihak Kerajaan Malaysia untuk meningkatkan kesedaran ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan rapat untuk mematuhi undang-undang ditetapkan dan tidak terperdaya dengan mana-mana tawaran pakej haji yang mencurigakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada seramai 142 bakal jemaah haji dari Sarawak, yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada pukul 11.15 malam tadi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Mereka dijadual bertolak ke tanah suci pada pukul 4.05 pagi tadi menaiki pesawat AMAL oleh Malaysia Airlines.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi turut hadir mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan bakal haji tersebut.

Bagi musim haji 1446H/2025M, Sarawak mencatatkan keseluruhan jemaah seramai 817 orang, dengan 331 orang terdiri daripada jemaah lelaki dan 486 jemaah wanita. Penerbangan bakal-bakal haji Sarawak itu merupakan penerbangan ke-34 daripada keseluruhan 100 penerbangan sewa khas haji yang disediakan untuk membawa seramai 31,600 orang bakal haji Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |