Pastikan data MyKad, lesen memandu selaras layak Budi95

3 weeks ago 20

PUTRAJAYA- Menjelang pelaksanaan penuh sistem subsidi bersasar Budi Madani RON95 (Budi95) esok, kerajaan menyarankan orang ramai memastikan butiran pada MyKad dan lesen memandu adalah tepat bagi memastikan kelayakan tidak terjejas.

Dalam konteks ini, berdasarkan analisis Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan, terdapat sebahagian data lesen memandu masih menggunakan nombor lama.

Ia seperti nombor polis, nombor tentera atau nombor IC lama selain tidak sepadan dengan format MyKad 12 digit.

Menurut Kementerian Kewangan, susulan itu, rakyat yang layak menerima manfaat itu diminta menyemak maklumat pada lesen memandu masing-masing.

“Selain memastikan lesen masih sah, pengguna juga perlu memastikan nombor MyKad 12 digit digunakan dan direkod dengan betul dalam lesen memandu selain nama pemegang lesen adalah tepat dan jenis kenderaan dinyatakan dengan betul.

“Penyelarasan itu diperlukan kerana butiran di lesen memandu akan disemak silang dengan maklumat dalam MyKad yang merupakan dokumen dibaca oleh terminal pembayaran di stesen minyak untuk pengesahan kelayakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Kementerian Kewangan berkata, jika terdapat sebarang ketidakselarasan, orang ramai diminta hadir ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengemas kini maklumat lesen memandu.

“Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan akan menyegerakan penyelarasan data secara mingguan bagi memastikan rakyat dapat menikmati harga bersubsidi Budi95,” katanya.

Dalam pada itu, hampir 500,000 rakyat daripada keseluruhan 6.1 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia sudah melakukan transaksi Budi95 di stesen minyak di seluruh negara.

Jelas kenyataan itu, pelaksanaan hari kedua sistem Budi95 semalam dilaporkan kekal stabil apabila ia dibuka kepada penerima STR dengan lesen memandu aktif.

“Sepanjang 28 September, sebanyak RM22.9 juta pembelian telah direkodkan bagi 11.5 juta liter petrol RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, dengan pengesahan MyKad di stesen minyak.

“Sistem ini akan diperluas kepada semua 16 juta rakyat Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif bermula 30 September,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Sejak portal Budi95 dilancarkan pada 25 September lalu, seramai 8.6 juta pengguna telah membuat semakan kelayakan mereka untuk memanfaatkan subsidi RON95. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |