Pasport palsu: Sindiket ‘makanan bangla’ tumpas

2 weeks ago 14

PETALING JAYA – Jabatan Imigresen (JIM) berjaya menumpaskan sindiket penipuan berkaitan pemeriksaan kesihatan bagi pelanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) menerusi Op Serkap, Selasa lalu.

Operasi secara serentak bermula pukul 6 petang itu dijalankan di beberapa premis di Kepong, Cheras, Pudu dan Puchong melibatkan Pasukan Taktikal Khas (Pastak).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, modus operandi sindiket terbabit adalah membuat penipuan pemeriksaan kesihatan yang merupakan salah satu elemen wajib ditetapkan oleh JIM.

Katanya, ketua sindiket akan menghantar maklumat pekerja syarikat beserta gambar ukuran pasport kepada ahli sindiket bagi tujuan mencetak pasport palsu.

“Pasport palsu berkenaan akan diberikan kepada ahli sindiket untuk ke klinik telah ditetapkan di borang Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA).

“Sindiket mengedarkan pasport palsu berkenaan menggunakan khidmat penghantar makanan seperti Lalamove, Grab dan sebagainya.

“Bagi mengaburi pihak berkuasa, sindiket membungkus pasport berkenaan menggunakan pembungkus polisterin dengan call sign ‘makanan bangla’ bagi setiap penghantaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM350 hingga RM450 untuk setiap pekerja syarikat yang memerlukan perkhidmatan berkenaan.

Kata beliau, hasil risikan selama hampir tiga bulan, pasukan operasi berjaya menahan tiga lelaki warga Bangladesh berusia di antara 21 hingga 40 tahun.

“Sindiket dipercayai sudah beroperasi selama hampir satu tahun tiga bulan dan dua wanita serta seorang lelaki tempatan telah diberi saman saksi untuk tujuan siasatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, pihaknya turut merampas 30 naskhah pasport disyaki palsu yang telah siap untuk diedar termasuk 14 dokumen FOMEMA.

“Rampasan membabitkan 24 pasport Bangladesh, lima pasport Indonesia serta satu pasport Myanmar selain satu komputer riba, dua mesin pencetak serta pelbagai barangan untuk menyediakan pasport.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk pemalsuan dokumen, penyamaran, tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah,” jelasnya.

Tambah Zakaria, warga asing ditahan di Depot Imigresen Putrajaya mengikut Seksyen 12(1)(a) dan seksyen 12 1(b) Akta Pasport 1966, Seksyen 55E, 6(1)(c) dan 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 serta Per.39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Terdahulu, Kosmo! menerusi laporan khas mendedahkan sindiket warga asing semakin licik memperdayakan pihak klinik apabila menghantar ‘orang sihat’ bagi mendapatkan dokumen FOMEMA.

Individu terbabit akan meng­gan­tikan pekerja asing yang ber­­­pe­nyakit untuk melepasi ujian kesihatan dengan upah antara RM600 hingga RM1,000.

Mereka akan menggunakan pasport dan biodata palsu, malah ada yang mengubah penampilan supaya menyerupai gambar seperti dalam pasport. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |