Ops samseng jalanan: Tayar ‘sotong’, tiada brek antara kesalahan dikesan

2 weeks ago 26

KUALA LUMPUR – Tayar motosikal diubah suai menjadi ‘tayar sotong’ sehingga menyerupai tayar basikal, selain ada yang langsung tidak mempunyai brek belakang antara kesalahan paling banyak dikesan dalam Ops Samseng Jalanan di sekitar ibu negara, awal pagi tadi.

Dalam operasi itu, sebanyak 378 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, manakala 90 motosikal disita selepas didapati melakukan pengubahsuaian berbahaya serta melanggar peraturan jalan raya.

Operasi berfokus berkenaan menumpukan kesalahan pengubahsuaian kenderaan, ketiadaan lesen memandu serta pelbagai kesalahan lain di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Operasi bermula pada pukul 2.45 pagi dan berakhir kira-kira pukul 5 pagi itu melibatkan kekuatan lapan pegawai serta 80 anggota.

Antara lokasi terlibat ialah Jalan Tun Razak hala Sungai Besi, Jalan Ipoh hala Chow Kit, Jalan Ipoh hala Sentul, Jalan Tuanku Abdul Rahman (berhampiran Coliseum) serta Jalan Pahang hala Bulatan Pahang.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kira-kira 800 motosikal diperiksa sepanjang operasi.

“Tindakan tegas diambil khususnya terhadap motosikal yang melakukan pengubahsuaian ekstrem.

“Sebarang pengubahsuaian struktur termasuk ekzos bising dan ketiadaan brek belakang boleh disita di bawah Seksyen 60 APJ 1987, selain perlu melalui pemeriksaan oleh Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pengangkutan Jalan,” katanya kepada pemberita pagi ini.

Beliau berkata, Seksyen 12 Akta Pengangkutan Jalan 1987 menetapkan setiap pengubahsuaian kenderaan memerlukan kelulusan, dan kegagalan mematuhi peraturan boleh dikenakan saman.

“Kesalahan tidak memiliki lesen memandu turut diberi perhatian di bawah Seksyen 26(1) APJ 1987,” ujarnya.

Mohd. Zamzuri menasihati penunggang motosikal supaya tidak membuat modifikasi melampau yang boleh mengundang kemalangan dan mengganggu ketenteraman awam.

Turut hadir meninjau operasi ialah Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Azani Omar. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |