WASHINGTON – Khabar angin mengenai Bumi akan hilang daya graviti pada tahun ini tular di internet, lapor laman berita Wion News hari ini.
Dakwaan mengenainya menyatakan bahawa dua lubang hitam (black hole) akan menyebabkan sistem graviti Bumi runtuh pada 12 Ogos 2026.
Bagaimanapun, fenomena itu mustahil dari sudut sains dan hanya boleh berlaku jika keseluruhan sistem Bumi kehilangan jisimnya.
Ketakutan terhadap kehilangan graviti Bumi selama 7 saat pada 12 Ogos ini kini tular.
Orang ramai mula panik memikirkan apa yang mungkin berlaku pada hari tersebut.
Walaupun ramai orang menepisnya sebagai sekadar teori konspirasi dan menyatakan ia mustahil berlaku, segelintir individu berasa takut.
Nama Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) turut dikaitkan dalam isu tersebut.
Beberapa hantaran mendakwa bahawa NASA sudah lama mengetahui tentang perkara tersebut dan sedang mengusahakan ‘Project Anchor’ sebagai persediaan.
Walaupun NASA tidak mengeluarkan kenyataan rasmi, seorang jurucakapnya memberitahu laman web semakan fakta, Snopes: “Bumi tidak akan kehilangan graviti pada 12 Ogos 2026.”
Katanya, perkara itu tidak mungkin berlaku kerana alasan yang diberikan sama sekali tidak boleh menjejaskan graviti planet ini.
“Graviti Bumi, atau jumlah daya tarikan graviti, ditentukan oleh jisimnya. Satu-satunya cara untuk Bumi kehilangan graviti adalah jika sistem Bumi termasuk jisim teras, mantel, kerak, lautan, air daratan dan atmosfera kehilangan jisimnya,” kata jurucakap tersebut.
Terdahulu, khabar angin yang tersebar mendakwa bahawa dua lubang hitam akan berlanggar dan membebaskan gelombang graviti yang akan menyebabkan Bumi kehilangan daya graviti.
Tidak jelas dari mana laporan ini bermula, walaupun kini terdapat banyak hantaran membincangkan insiden tersebut.
Dikatakan bahawa pada 12 Ogos 2026, Bumi akan kehilangan graviti selama tepat tujuh saat pada pukul 2.33 petang (Waktu UTC).
Kekecohan akan berlaku apabila semua benda yang tidak diikat akan terapung selama tujuh saat sebelum terhempas semula ke bawah.
Hantaran tersebut juga mendakwa, NASA telah memperuntukkan bajet AS$89 bilion (RM360.8 bilion) untuk memastikan kelangsungan hidup dan membina kubu bawah tanah bagi ‘kakitangan penting’.
Malah, ada dakwaan tidak berasas menyatakan kononnya 40 hingga 60 juta orang boleh terkorban.
Dakwaan liar ini tidak mempunyai bukti kukuh dan tiada mana-mana pihak rasmi yang mengesahkannya.
Graviti dihasilkan oleh jisim iaitu semakin besar jisim sesuatu objek, semakin kuat tarikan gravitinya.
Sebagai contoh, Musytari dan Matahari mempunyai tarikan graviti lebih kuat kerana jisimnya yang besar.
Interaksi lubang hitam atau sebarang peristiwa kosmik lain tidak akan memberi kesan kepada graviti Bumi. – AGENSI

3 hours ago
3

















































