MUNICH – Penyerang veteran Bayern Munich, Thomas Muller mengucapkan selamat tinggal kepada gergasi Jerman itu dengan status sebagai legenda selepas 25 tahun menyarung jersi kelab berkenaan sejak 2000.
Muller, 35, yang memulakan kariernya bersama akademi Bayern dan memenangi pelbagai gelaran termasuk 13 kejuaraan Bundesliga dan dua trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) diberikan penghormatan besar oleh kelab itu ketika menentang Borussia Monchengladbach awal pagi semalam.
“Saya sangat menikmati menjadi seorang gladiator moden. Namun, saya tidak berasa sedih (meninggalkan Bayern) kerana saya menantikan apa yang akan datang walaupun saya percaya ia tidak sebagus sekarang.
“Kita semua tahu saat ini akan tiba juga. Bagi ramai orang, termasuk saya sendiri, ini adalah momen yang sukar tetapi juga indah. Penghargaan anda berikan kepada saya sangat unik,” kata Muller.
Muller diberikan penghormatan menjadi pemain pertama mengangkat trofi Bundesliga dimenangi mereka musim ini selepas tamat perlawanan menyaksikan Bayern menang 2-0 ke atas Gladbach di Allianz Arena.
Sebelum perlawanan bermula, bintang Jerman itu turut diraikan dalam satu upacara perpisahan singkat bersama pengurusan disertai bunga dan gambar memperingati semua trofi dimenangi menjelang penampilannya ke-750 bersama Bayern dalam semua kejohanan.
Bagaimanapun, Muller gagal meledak gol dalam aksi itu yang mana dua jaringan tersebut diperoleh menerusi Harry Kane dan Michael Olise masing-masing pada minit ke-31 serta 90.
Kane, yang kini memenangi gelaran pertama dalam kariernya, berada di landasan tepat untuk mencipta sejarah Bundesliga sebagai penjaring terbanyak dalam dua musim pertamanya bersama kelab itu.
“Perasaan yang luar biasa, ia sudah lama dinanti. Harapnya ini adalah yang pertama dari banyak lagi selepas ini,” kata Kane. – AGENSI