Menyamar penolong pegawai perubatan, HTF diarah perketat keselamatan

5 days ago 15

KANGAR – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis memandang serius insiden penyamaran orang awam sebagai Penolong Pegawai Perubatan (PPP) di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini pada 8 April lalu.

JKN negeri dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah mengarahkan pihak hospital untuk memperketatkan pemantauan keselamatan di keseluruhan kawasan hospital.

“Jabatan ini ingin mengingatkan orang awam bahawa penyamaran
sebagai penjawat awam adalah salah satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan,” katanya.

Katanya, siasatan JKN mengesahkan insiden penyamaran seperti dalam video yang tular di aplikasi TikTok pada semalam.

“Insiden penyamaran tersebut adalah
benar berlaku di sekitar pekarangan HTF pada pukul 9.28 malam.

“Individu berkenaan dikenal pasti sebagai orang awam iaitu seorang lelaki berbangsa Melayu berusia 23 tahun serta beruniform PPP dengan lengkap beg peralatan perubatan,” ujarnya.

Menurutnya, pelaku telah mengaku membeli pakaian seragam PPP dan peralatan perubatan tersebut melalui platform dalam talian.

“Pelaku menyamar sebagai PPP kerana mempunyai minat yang mendalam terhadap profesion tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, HTF telah mengambil tindakan segera dengan memaklumkan kepada pengurusan tertinggi jabatan pada hari yang sama.

“Laporan polis mengenai insiden itu telah dibuat pada 9 April dan tindakan selanjutnya terhadap pelaku
telah diserahkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Terdahulu Kosmo! Online melaporkan seorang remaja lelaki didakwa menyamar sebagai penolong pegawai perubatan di sebuah hospital di utara sebelum dipercayai ‘dicekup’ kakitangan hospital tersebut.

Satu video tular memaparkan remaja terbabit yang lengkap memakai uniform berwarna hijau seperti petugas kesihatan sedang memberi penjelasan kepada seorang lelaki dipercayai petugas hospital.

Maklumat dalam video itu menyatakan suspek mempunyai cop nama yang lengkap berserta nama jawatan serta memiliki beberapa peralatan seperti stetoskop didakwa dibeli dari Shopee. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |