Mentega Terbang: Pertuduhan sah dan berpelembagaan

1 week ago 16

KUALA LUMPUR – Pengarah dan penerbit filem kontroversi Mentega Terbang gagal dalam permohonan mereka untuk merujuk persoalan perlembagaan ke Mahkamah Tinggi, berhubung pertuduhan melukakan perasaan penganut agama lain yang dihadapi.

Hakim Mahkamah Tinggi K.Muniandy memutuskan demikian selepas menolak permohonan Pengarah filem itu, Mohd. Khairianwar Jailani, 33, dan penerbitnya, Tan Meng Kheng, 38, selaku pemohon bagi menentukan sama ada pertuduhan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam penghakimannya, hakim Muniandy berkata pertuduhan yang didakwa terhadap kedua-dua pemohon adalah sah dan mengikut perlembagaan.

“Dalam kes ini, mahkamah mendapati bahawa permohonan pemohon untuk membatalkan Seksyen 298 tidak berasas. Mahkamah juga berpendapat tiada isu perlembagaan yang perlu dirujuk bagi menentukan prosiding jenayah di Mahkamah Majistret,” kata hakim itu.

Semasa prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob dan
Nor Azizah Aling manakala kedua-dua pemohon diwakili peguam N.Surendran.

Dengan keputusan itu, kes tersebut dikembalikan semula ke Mahkamah Majistret. Sementara itu Surendran ketika ditemui berkata pihaknya akan membuat rayuan terhadap keputusan hari ini.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Khairianwar dan Meng Kheng didakwa sengaja berniat melukakan perasaan agama orang lain dengan melafazkan perkataan dalam pendengaran dan meletakkan objek dalam penglihatan orang, dengan berperanan sebagai pengarah, penulis skrip dan penerbit Mentega Terbang.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Jalan Semarak Api 2, di sini, pukul 12.34 tengah hari pada 26 Februari 2023.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, pada Jun tahun lalu, Mahkamah Majistret membenarkan permohonan kedua-dua pemohon untuk merujuk dua persoalan Perlembagaan ke Mahkamah Tinggi.

Mereka juga memohon Mahkamah Tinggi menentukan sama ada frasa melukakan perasaan agama seseorang, iaitu berkaitan unsur dalam kesalahan seksyen berkenaan, melanggar hak bagi perbicaraan adil kerana tidak sah dan tidak jelas.

Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim ketika itu membenarkan permohonan terbabit selepas mendapati ia mempunyai merit.

Beliau berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas menimbang dan meneliti permohonan secara keseluruhan yang difailkan kedua-dua pemohon menerusi notis usul yang difailkan.

Filem Mentega Terbang dilihat menyentuh perbezaan dan persamaan agama-agama utama di Malaysia selain mendapat kritikan orang ramai dan penggiat seni berikutan tayangannya di platform dalam talian.

Selain itu, tular beberapa sedutan babak tertentu dalam filem itu yang memaparkan watak utama bernama Aisyah tanpa berselindung meminta daging babi daripada rakan bukan Islamnya untuk dimakan, selain bapanya membenarkan Aisyah keluar dari Islam dan memeluk agama lain.

Sedutan babak tular itu kemudian mengundang marah warga maya yang mempersoalkan bagaimana filem itu dibenarkan untuk tontonan umum. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |