PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan Notis Niat Penggantungan Lesen kepada Astro Audio, pengendali stesen radio Era FM, susulan penyebaran video tular yang menunjukkan penyampainya mempersendakan upacara keagamaan Hindu.
MCMC berkata pemegang lesen diberi tempoh 30 hari untuk memberi maklum balas terhadap notis tersebut sebelum pihaknya membuat sebarang keputusan.
“MCMC akan mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya esok berhubung satu video mempersendakan agama Hindu yang dimuat naik ke akaun TikTok milik stesen radio Era FM.
“Susulan kes tersebut, MCMC telah memanggil pengurusan tertinggi Astro semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar kenyataan tersebut, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Hari ini, penyampai 3 Pagi Era, Nabil Ahmad, Radin Amir dan Azad Jasmin selesai memberi keterangan selama lebih dua jam di Bukit Aman berhubung dakwaan mempersenda upacara agama Hindu.
Mereka tiba sekitar pukul 10.30 pagi dan meninggalkan pekarangan ibu pejabat polis pada 1.10 tengah hari menaiki Toyota Vellfire hitam tanpa memberikan sebarang kenyataan kepada media.
Selain penyampai-penyampai program itu, tiga lagi kakitangan Era FM juga turut beredar.
Sebelum ini, Nabil, Azad dan Radin memohon maaf atas video kontroversi mempersenda tarian kavadi Hindu iaitu upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.
Video berkenaan yang sudah diturunkan dalam platform media sosial stesen terbabit memaparkan seorang daripada mereka meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa rakan lain.
Klip video itu mengundang kritikan meluas kerana secara terang-terangan mempersendakan tradisi penganut Hindu. – KOSMO! ONLINE