GOMBAK – Masjid dan surau di seluruh Selangor perlu kekal sebagai institusi neutral yang menyatukan rakyat tanpa dipengaruhi sentimen politik, perbezaan pandangan atau fahaman melampau.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri terus komited memperkukuh peranan masjid dan surau sebagai pusat ibadah, pendidikan serta penyatuan ummah, sambil menolak sebarang bentuk ekstremisme dan perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam.
Menurut Amirudin, kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kewangan dan kemudahan kepada rumah ibadat Islam bagi memastikan aktiviti keagamaan dapat dilaksanakan secara berterusan, khususnya sepanjang bulan Ramadan.
“Masjid seharusnya menjadi tempat terakhir berlakunya perpecahan.
“Kita sudah terlalu banyak berpecah dalam pelbagai perkara, jangan biarkan masjid turut menjadi medan konflik,” katanya ketika berucap menyampaikan sumbang Ihya Ramadan bagi Parlimen Gombak di Masjid Al-Hidayah Taman Melawati hari ini.
Pada majlis berkenaan Amirudin menyampaikan peruntukan berjumlah RM1.6 juta kepada wakil 150 masjid, surau dan madrasah di sekitar Parlimen Gombak sumbangan Yayasan Menteri Besar Incorporated dan Pejabat Ahli Parlimen Gombak bagi tahun 2026.
Sumbangan diharap dapat membantu program mengimarahkan masjid dan surau di sekitar Parlimen Gombak sempena bulan Ramadan tidak lama lagi.
Dalam pada itu, Amirudin turut menegaskan kepentingan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kekuatan rohani, selaras dengan kefahaman Islam yang menyeluruh.
Beliau memaklumkan, pencapaian ekonomi Selangor yang memberangsangkan, termasuk peningkatan gaji median rakyat melepasi RM10,000, perlu disertai dengan pengukuhan nilai keimanan dan ihsan dalam kehidupan seharian.
Dalam aspek pendidikan Islam, katanya kerajaan negeri memperuntukkan antara RM40 juta hingga RM50 juta setiap tahun bagi memperkasa sekolah agama di Selangor.
Menurutnya, kerajaan negeri juga bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk membantu sekolah agama rakyat yang sebelum ini terhenti bantuan.
Amirudin turut mengingatkan agar ajaran Islam difahami dan diamalkan secara sederhana serta berlandaskan ilmu, bagi mengelakkan salah tafsir yang boleh menjejaskan imej agama.
Pada masa sama, beliau menggalakkan masjid bersikap lebih inklusif, khususnya dalam mendekati golongan muda, termasuk menyediakan ruang dan aktiviti yang sesuai bagi menarik mereka ke rumah Allah.
Menurutnya, sebagai tanda sokongan berterusan, kerajaan negeri menyalurkan sumbangan kewangan kepada institusi agama melibatkan 22 masjid, 20 surau jumaat, 77 surau dan 18 madrasah, dengan peruntukan antara RM5,000 hingga RM20,000 bagi setiap institusi di Parlimen Gombak.
Menjelang Aidilfitri, kerajaan negeri turut meneruskan Program Rahmah Aidilfitri, selain meningkatkan bantuan kepada jemaah haji Selangor yang menunaikan ibadah melalui kaedah Muassasah daripada RM1,000 kepada RM1,500 bermula tahun ini.
Beliau berkata, semua inisiatif tersebut adalah sebahagian usaha berterusan kerajaan negeri membangunkan Selangor bukan sahaja dari sudut material, tetapi juga sebagai negeri yang berteraskan nilai iman, Islam dan ihsan.- KOSMO! ONLINE

9 hours ago
5

![[VIDEO] Seorang maut, tiga cedera dirempuh pemandu Myvi disyaki ‘microsleep’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-10-at-9.22.39-PM.jpeg)















































