PETALING JAYA – Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) bakal membangunkan loji janakuasa solar fotovoltaik berkapasiti 100 megawatt (MW) di Bintulu, Sarawak selepas anak syarikatnya, Malakoff Evergreen Sdn. Bhd. (MEVSB), memeterai Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 30 tahun dengan Syarikat SESCO Berhad (SESCO).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Syahrunizam Samsudin berkata, pemeteraian itu menandakan satu lagi langkah penting dalam perjalanan RE Malakoff.
“Tahun 2025 sudah pun menjadi tahun yang bermakna buat kami. Dengan kejayaan meraih projek solar 470 MW LSS5+ baru-baru ini dan perancangan loji 100 MW di Bintulu, kapasiti RE kami kini mencecah 768 MW.
“Perluasan ini merupakan lonjakan besar dalam portfolio kami dan sumbangan nyata terhadap peralihan tenaga bersih negara bersamaan dengan pengelakan sebanyak 11.1 juta tan metrik karbon dioksida (tCO2e) setahun atau setara dengan penyerapan karbon oleh 18.3 juta pokok matang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, selain daripada menambah kapasiti, ia juga mencerminkan penyelarasan mereka dengan matlamat peralihan tenaga negara untuk jangka panjang serta memperkukuh keselamatan tenaga masa depan.
Katanya, projek solar itu dilaksanakan oleh MEVSB, iaitu syarikat tujuan khas milik bersama Tuah Utama Sdn. Bhd. (70 peratus) dan EE Solar Sdn. Bhd. (30 peratus).
“Selaras dengan Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P), inisiatif ini menyokong sasaran mencapai kapasiti penjanaan 10 gigawatt (GW) menjelang 2030, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai ‘Bateri ASEAN’ ,” katanya.
Menurutnya, loji tersebut dijangka siap dan mula beroperasi pada 1 Mei 2028, sekali gus memperkukuh bekalan tenaga boleh diperbaharui di Sarawak serta menyokong aspirasi negara menuju masa depan rendah karbon.
Tambahnya, bersempena ulang tahun ke-50 penubuhannya, Malakoff turut menerima pengiktirafan antarabangsa apabila dinobatkan sebagai Pengeluar Tenaga Bebas Tahunan di Enlit Asia 2025 bagi tahun ketiga berturut-turut, selain meraih Anugerah Merit di Anugerah Tenaga Kebangsaan 2025. – KOSMO ONLINE