‘Lupakan masalah politik, fikirkan masalah ummah’

14 hours ago 5

SERDANG – Penerima Anugerah Maulidur Rasul Kategori Agamawan/Kepimpinan Dakwah, Syeikh Wazir Che Awang, 77, mengajak semua umat Islam tidak mengira latar belakang untuk sentiasa memikirkan masalah ummah dan agama Islam.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan dan Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan dalam masa sama turut mengucapkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Agama Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar atas anugerah yang diterima.

“Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri hari ini memberi perhatian lebih kepada sekolah-sekolah pondok.

“Kita lupakan masalah politik, fikirkan masalah ummah, Islam tidak boleh diasing-asingkan oleh politik, utamakan keislaman itu penting,” katanya kepada media pada sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2025M di sini hari ini.

Ditanya cadangan kerajaan untuk memperluaskan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada sekolah pondok, Syeikh Wazir menyokong perkara itu dan menyifatkan ia usaha memastikan pelajar sekolah pondok selari dengan pendidikan arus perdana pada masa kini.

“Bagus, saya sokong sebab pondok pun ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan itu pun bagus. Supaya sekolah pondok ini selaras dengan masa sekarang, arus perdana pendidikan kini.

“Ini juga memastikan pelajar tidak tertinggal atau tercicir. Itu harapan kita, insya-Allah akan bersama kerajaan (berhubung TVET) ini,” katanya

Anugerah Maulidur Rasul Kategori Wira Negara pula disampaikan kepada Penolong Pesuruhjaya Bomba, Ismail Abdul Ghani dan beliau menujukan anugeran itu untuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan agensi penyelamat yang lain.

“Saya hanya mewakili, kerja baik dan sumbangan bakti keringat pengorbanan nyawa ini diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia. Anugerah ini menunjukkan wira-wira negara terus dihargai,” katanya.

Bagi Anugerah Maulidur Rasul Kategori Belia Harapan disampaikan kepada Pegawai Khas (Hal Ehwal Islam) Timbalan Menteri Hal Ehwal Islam Sarawak, Dayang Nur’ Maisarrah Abang Abdul Razak, 27, dan beliau menyifatkan anugerah itu satu tanggungjawab sekali gus bukan titik noktah dalam hidupnya.

“Saya rasa sangat membara sebagai anak muda serta suntikan semangat. Terima kasih kerajaan kerana menghargai anak muda.

“Anak muda jadilah benih yang baik, ditikam di darat jadi pulau, ditikam di langit jadi bintang kejora dan ditikam di laut jadi pulau sangat berharga. Jadilah benih yang baik di mana hidup ini perlu berjasa,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, 79, diumumkan sebagai Tokoh Perdana Anugerah Maulidur Rasul pada majlis berkenaan.

Selain itu, Pencipta kandungan digital, pempengaruh dan usahawan, Khairul Amin Kamarulzaman, 33, menerima Anugerah Maulidur Rasul Kategori Usahawan/Teknokrat Berjaya, Pelakon Angeline Tan, 58, menerima Anugerah Maulidur Rasul Kategori Saudara Baru Cemerlang (Mualaf), manakala Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation, Muhammad Usamah Zaid Yasin, 41, yang menjadi tulang belakang animasi popular Ejen Ali menerima Anugerah Maulidur Rasul Kategori Pengkarya/Inovator Kreatif.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan hadiah wang tunai RM50,000, trofi dan sijil penghargaan kepada anugerah Tokoh Perdana, manakala RM30,000, trofi dan sijil penghargaan kepada penerima yang lain. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |