PEMERHATI bola sepak tempatan, Zakaria Rahim mengakui sukar untuk membayangkan saingan Liga Malaysia (Liga M) tanpa kehadiran kelab ‘hardcore’ jika spekulasi untuk tidak menyertai saingan musim depan menjadi realiti.
Menurut Zakaria, kelab-kelab seperti Sri Pahang FC, Kedah Darul Aman FC, Perak FC dan Kelantan Darul Naim FC adalah antara pasukan yang mempunyai sejarah tersendiri dan jumlah penyokong yang ramai.
Zakaria berkata, ketiadaan kelab yang dilabel sebagai ‘hardcore’ dalam arena bola sepak tempatan bakal memberi impak bukan sahaja kepada pemain, jurulatih dan pegawai kelab itu saja, malah kepada ekosistem industri sukan No. 1 negara ini.
“Kalau betul pasukan-pasukan seperti ini dah tak main di Liga Super, saya risau bola sepak kita akan merudum selepas ini.
“Matlamat kita dalam Liga Malaysia adalah untuk tengok pembangunan pemain, nak menggembirakan penyokong-penyokong, tapi bayangkan kalau kelab macam Pahang, Perak dan Kedah tidak lagi bertanding, banyak yang akan terjejas.
“Peluang-peluang pemain sendiri pun akan mengecil dan secara tidak langsung industri bola sepak ini semakin lenyap tanpa pasukan-pasukan yang ada kelompok penyokong besar, memang akan rugi,” kata bekas pengurus skuad Selangor ini.
Beberapa kelab bermasalah ini dilaporkan menghadapi kekangan kewangan yang kritikal pada musim ini sehingga menjejaskan permohonan lesen kebangsaan 2025/2026 yang sepatutnya berakhir pada 30 April lepas.
Namun, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menerusi unit First Instance Body (FIB) telah memberi ‘ehsan’ buat semua pasukan untuk memuat naik dokumen permohonan lesen kebangsaan pada 10 mei depan.
Bagaimanapun, keputusan MFL telah dikritik pengurusan Penang FC apabila mendakwa MFL tidak berlaku adil dengan pasukan yang berdisiplin apabila menguruskan kewangan dengan baik sehingga berjaya menghantar dokumen mengikut tarikh asal ditetapkan.