KUANTAN – Misteri kehilangan seorang lelaki sejak seminggu lalu akhirnya terjawab apabila mangsa ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kereta jenis Perodua Viva di tempat letak kereta sebuah restoran nasi Kerabu dekat Sungai Isap di sini semalam.
Mangsa, Safri Mohd Ali,55 yang berasal dari Kampung Hijrah di sini dilaporkan hilang sejak 13 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri dengan keadaan tertunduk di tempat duduk pemandu kira-kira pukul 4.15 petang.
“Temubual ke atas pengadu mendapati kereta berkenaan diletakkan di kawasan tersebut lebih kurang seminggu sebelum pengadu membuat pemeriksaan dan terhidu bau busuk daripada dalam kereta.
“Setelah meninjau melalui cermin hadapan didapati satu lelaki lengkap berpakaian dalam keadaan tidak sedarkan diri dan seterusnya pengadu telah menghubungi talian MERS 999 bagi mendapatkan bantuan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya susulan itu pada pukul 7.35 petang semalam sepasukan anggota daripada jabatan forensik Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang tiba dilokasi kejadian bagi membuat pemeriksaan terhadap fizikal mangsa.
Katanya, turut ditemukan bersama mangsa ialah sebuah telefon bimbit dan satu beg galas milik mangsa.
“Semakan lanjut yang dibuat mendapati mangsa merupakan Orang Hilang (OH) yang sedang dicari yang mana mangsa dilaporkan keluar dari rumah pada 13 Disember lalu dan sehingga sekarang tidak pulang.
“Pengecaman oleh ahli keluarga telah dijalankan di jabatan forensik mengesahkan bahawa mangsa adalah OH yang sedang dicari,”katanya.
Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke jabatan forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian.- KOSMO! ONLINE