Lelaki didakwa curi kabel, pandu Hilux secara berbahaya lari polis

3 weeks ago 22

MELAKA – Seorang lelaki didakwa Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri kabel dan memandu secara berbahaya bagi mengelak ditahan pasukan polis, awal bulan ini.

Tertuduh, T. Kerubahkaran, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas enam pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam dua prosiding berlainan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman dan Tuan Uthman Abd. Ghani.

Mengikut pertuduhan di hadapan Sharda, tertuduh didakwa telah memandu secara berbahaya dan memalsukan nombor pendaftaran kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipandunya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdullah Mohd. Rodzlad mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dikenakan bagi pertuduhan pertama dan RM6,000 bagi pertuduhan kedua.

Tertuduh bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan atas alasan dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia lima bulan yang menghidap penyakit jantung berlubang.

Sharda kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 19 Jun depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di hadapan Tuan Uthman, tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama atas kesalahan mencuri kabel milik Telekom Malaysia Berhad.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam.

Dia bagaimanapun dibenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi kesemua empat pertuduhan tersebut dan tarikh sama iaitu 19 Jun ditetapkan bagi sebutan semula kes.

Kosmo! pada 6 Mei lalu melaporkan dua lelaki disyaki mencuri kabel melarikan diri dengan memandu secara melawan arus di Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) sehingga merempuh empat kenderaan termasuk sebuah lori sebelum ditahan oleh Unit Kereta Peronda (MPV) di Kilometer 216.8 sekitar pukul 5.30 pagi. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |