‘Konsert Dadali Sebuah Kisah satu pembuktian’

1 day ago 5

KUMPULAN popular Indonesia yang terkenal menerusi seleksi lagu-lagu galau, Dadali akan tampil menggegarkan ibu negara sempena Konsert Dadali Sebuah Kisah Live In Kuala Lumpur pada 5 Julai depan.

Bukan sekadar sebuah persembahan ikonik, impian untuk muncul semula ke atas pentas tercapai apabila sejak awal perancangan tersebut mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada peminat ramai yang merindukan mereka.

Vokalisnya, Dyrga atau nama lengkapnya Octa Dyrga Nala Prana, 43, berkata, dia bersama rakan-rakannya teruja untuk kembali menghiburkan peminat mereka di sini selepas kali terakhir membuat persembahan berskala besar pada 2015.

“Ketika menyertai sebuah rancangan realiti nyanyian di Malaysia tahun lepas, saya mendapati lagu-lagu Dadali masih popular kerana dinyanyikan oleh peminat di sini.

“Sepertinya Dadali patut serta layak untuk melakukan konsert di sini dan akhirnya doa kami termakbul,” katanya pada sidang akhbar konsert itu semalam.

Tambah Dyrga, sebanyak 20 lagu bakal dipersembahkan, antaranya termasuklah, Di Saat Aku Mencintaimu, Di Saat Aku Tersakiti dan Di Saat Patah Hati.

“Lebih istimewa sebagai penghargaan kepada penyanyi Malaysia kami akan turut mendendangkan beberapa lagu popular Malaysia ciptaan Datuk M.Nasir.

“Sejak saya masuk Gegar Vaganza, saya rasa Dadali perlu buat konsert di sini. Akhirnya doa kami termakbul,” kata vokalis utama Dadali, Dyrga, ketika ditemui pada sidang media yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Rabu.

Tambah Dyrga, konsert berkenaan bukan sekadar acara hiburan, tetapi sebuah pembuktian bahawa Dadali pernah menjadi sebahagian daripada gelombang muzik Nusantara.

“Ini adalah pembuktian bahawa kami pernah ada sumbangan besar dalam muzik Nusantara. Kami tidak akan sia-siakan momentum ini,” katanya lagi.

Selain lagu popular M. Nasir, konsert ini juga bakal menampilkan penyanyi jemputan Malaysia lain seperti Ronnie Hussein.

Dianggotai enam ahli iaitu Dyrga Nala (vokalis), Boim (gitaris), Dendi (pemain keyboard), Hendi (pemain bass), Obot (pemain drum) dan juga Rickarjd (gitaris melodi),

Dadali yang terkenal dengan jolokan King Of Sad Song bakal tampil dengan sebuah persembahan berkonsepkan galau.

Untuk tiket, tempahan boleh dibuat di myticketempire.com dengan harga bermula dari RM188 hingga RM588.

Pembelian juga boleh dibuat secara ansuran menerusi Atome, SPayLater, dan Grab PayLater yang memudahkan peminat merancang bajet mengikut kemampuan masing-masing.

Konsert anjuran Ultimate Teamworks Malaysia, Ultimate Media, dan BIZCreations, dengan sokongan Tourism Malaysia tersebut sebagai sebahagian daripada kempen Visit Malaysia 2026.

Penganjuran tersebut dilihat sebagai langkah memperkukuh industri pelancongan dan hiburan melalui konsert.

Read Entire Article
Pertanian | | | |