PETALING JAYA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh harus letak jawatan segera dan melaksanakan pendiriannya iaitu keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) dalam satu kenyataan media berkata, sekiranya Dr. Muhamad Akmal benar-benar berprinsip, beliau boleh meletakkan jawatan Exco kerajaan Melaka serta-merta.
“Jika masih kekalkan jawatan sedia ada, maka dia harus menelan semula apa yang pernah diungkap. Menghentikan segala tindakan dan retorik yang hanya berniat untuk merosakkan usaha kerajaan terhadap agenda reformasi dan kesejahteraan rakyat,” kata kenyataan itu hari ini.
Terdahulu, Dapsy berkata, pihaknya mengambil maklum ketegasan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.
Justeru, kata Dapsy, gimik ‘keluar kerajaan’ yang dimainkan oleh Ketua Pemuda UMNO sejak beberapa hari lalu terbukti adalah bahan lawak politik yang memalukan diri sendiri.
Menurut Dapsy, Kenyataan Presiden UMNO bahawa UMNO ‘tidak mahu dipatuk ular sama kali kedua’ menutup ruang spekulasi rundingan antara UMNO dan Pas.
“Tafsiran songsang Dr. Muhamad Akmal konon Presiden UMNO bersetuju kerjasama penyatuan orang Melayu jelas merupakan cubaan mengelirukan rakyat dan tidak menghormati pendirian parti sendiri,” ujar Dapsy.
Dapsy berkata, Perikatan Nasional (PN) khususnya Pas adalah sebuah gabungan parti yang gagal menampilkan dasar konstruktif, sebaliknya terus memainkan politik perkauman dan keagamaan.
Kata Dapsy, dalam perihal yang berkaitan dengan dasar negara khususnya kos sara hidup dan reformasi institusi pula Pas hanya membantah tanpa solusi.
Dapsy berkata, konflik dalaman PN yang kian ketara antara Bersatu dan Pas pula sekali lagi membuktikan politik yang tidak berasakan tadbir urus akhirnya memakan diri.
“Negara memerlukan parti politik yang menjamin kestabilan dan kecekapan, bukan PN yang memecahbelahkan,” kata Dapsy.
Selain itu, Dapsy mengingatkan pengalaman tahun 2020 hingga 2022 jelas menunjukkan penyatuan antara UMNO, Pas dan Bersatu telah membawa ketidakstabilan dan kerugian kerusi kepada UMNO.
Justeru, kata Dapsy, sebarang usaha untuk mengulangi langkah sama hanya mengkhianati mandat rakyat dan menjejaskan masa depan parti sendiri.
“Dapsy menegaskan fokus utama kini untuk memacu pemulihan ekonomi, meringankan kos sara hidup dan meneruskan reformasi.
“Rakyat tidak berminat dengan drama perebutan kuasa dan hanya perlukan sebuah kerajaan yang stabil dan mampu bekerja,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
8

















































