Kerajaan laksana pelbagai inisiatif, lonjak ekonomi negara sepanjang 2024

1 month ago 38

PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kerajaan telah melaksanakan pelbagai perencanaan bagi melonjakkan ekonomi negara sepanjang 2024, sekali gus melimpahkan kemakmuran berpanjangan buat rakyat dan negara.

Menerusi hantaran dibuat di Facebook rasmi Anwar, beliau turut berkongsi beberapa paparan imej menunjukkan inisiatif dilaksanakan kerajaan termasuk pelaburan ekonomi digital dengan dana RM254.7 bilion.

Menerusi pelaburan itu yang diluluskan dalam tempoh Januari hingga September, sejumlah 159,000 pekerjaan berjaya diwujudkan, seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi berasaskan teknologi di Asia Tenggara.

Selain itu, pelaburan Infineon di Kedah dengan nilai RM30.1 bilion untuk membina loji fabrikasi kuasa silikon karbida terbesar di dunia turut menghasilkan 4,000 peluang pekerjaan.

Ia berjaya mengukuhkan industri semikonduktor Malaysia dan menarik pelabur global serta meningkatkan nilai eksport.

Sorotan 2024 diteruskan dengan kejayaan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) yang dibangunkan di atas tanah seluas 1,000 ekar dengan perancangan pembinaan ladang solar seluas 660 ekar.

Projek itu merupakan kerjasama antara SD Gutbrie dan Permodalan Nasional Berhad dengan memberi fokus kepada pelaburan dalam sektor semikonduktor dan E&E.

Sementara itu, Projek Kerjasama Awam Swasta (PPP) Sumbangan Kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM82 bilion menjelang 2030 turut menjangkakan 900,000 pekerjaan baharu.

Pada masa sama, Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera juga telah memberi tumpuan kepada peningkatan penyertaan ekonomi Bumiputera melalui inisiatif yang disasarkan bagi meningkatkan keadilan sosioekonomi.

Pelaburan GLIC sebanyak RM120 bilion daripada enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dalam sektor pertumbuhan tinggi seperti pembuatan canggih dan peralihan tenaga juga mampu memacu daya tahan ekonomi jangka panjang.

Bercakap mengenai Kemajuan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) pula, ia dilihat bakal meningkatkan kedudukan Malaysia dalam industri semikonduktor global selain mencipta peluang pekerjaan tinggi.

Dalam konteks ini, menerusi NIMP 2030, gaji median dijangka meningkat sebanyak 8.2 peratus atau RM201 selain meningktkan peluang pekerjaan sebanyak 0.9 peratus atau 200,000 pekerjaan.

“Kerajaan akan terus bekerja keras di tahun mendatang untuk memacu masa depan kita yang lebih sejahtera, Insya-Allah,” jelas Anwar. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |