Kempen penstrukturan semula pinjaman PTPTN dapat sambutan

4 hours ago 4

BESUT – Kemudahan penstrukturan semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan peminjamnya sejak mula dilancarkan akhir tahun lalu.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, pejabat cawangan PTPTN seluruh negara telah dikunjungi ramai peminjam sejak pelancaran kempen Lestari Pendidikan terbabit.

Beliau berkata, kebanyakan peminjam terbabit mahu membuat penstrukturan semula pembayaran mengikut kemampuan semasa mereka.

“Kita gunakan pendekatan empati, peminjam yang masih belum mendapat pekerjaan, kita akan bagi ‘tempoh bertenang’ tidak perlu melakukan pembayaran dahulu .

“Mereka yang sudah bekerja pula, kita akan bantu membuat penstrukturan mengikut kemampuan masing-masing bagi memastikan pembayaran tetap dilakukan,” katanya di Gong Kemuntong selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO bahagian Besut.

Norliza

Norliza berkata, kempen Lestari Pendidikan diyakini mampu mencapai matlamatnya membantu peminjam menyelesaikan tanggungjawab membayar hutang PTPTN dengan lebih berkesan.

Beliau berkata, PTPTN juga akan bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk membantu peminjam yang masih menganggur untuk mendapatkan pekerjaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |