Kedah tolak insentif RM41 juta, pengorbanan kekalkan sawah lebih besar

5 days ago 13

ALOR SETAR – Kedah menolak cadangan PLANMalaysia berhubung nilai bayaran insentif khas sebanyak RM41 juta sebagai mekanisme timbal balik atas pengorbanan negeri mengekalkan keseluruhan tanah sawah.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerajaan negeri berpandangan bahawa nilai insentif yang dicadangkan PLANMalaysia menerusi Pelan Induk Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (KAGUMN) itu terlalu rendah berbanding pengorbanan dilakukan.

“Jika kita ambil kira kaedah atau nilai insentif yang dibangunkan KAGUMN, ia mengambil 0.1 peratus sebagai pemboleh ubah daripada nilai setiap hektar tanah dibangunkan yang mana satu hektar nilainya RM400,000.

“Kita tidak minta satu peratus, kita minta 0.38 peratus. Kita boleh dapat RM157 juta kalau 0.38 peratus,” katanya ketika menjawab soalan
Hanif Ghazali (PN-Tanjung Dawai) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau memohon agar Kerajaan Persekutuan dapat terus mempertimbangkan permohonan Kedah sebanyak RM200 juta bagi mengekalkan kawasan sawah padi selaras titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada tahun lalu.

“Ini adalah permohonan yang munasabah kerana kalau kita terkeluar daripada tanggungjawab kita sebagai negeri jelapang padi untuk negara, negara akan mengalami kesukaran.

“Hujahan-hujahan yang telah saya buat sebelum ini kalau ditukar seluruh kawasan tanah padi kepada komersial, kita akan dapat RM1.7 bilion cukai tanah,” ujarnya.

Muhammad Sanusi turut menegaskan bahawa beliau bukan meminta duit percuma tetapi menuntut kehilangan yang negeri tanggung puluhan tahun lamanya.

Tambahnya, kerajaan negeri akan terus memperjuangkan permohonan tersebut yang ketika ini masih di peringkat pertimbangan Kerajaan Persekutuan.

“Walaupun kerajaan memberi alasan bahawa telah banyak bantuan diberikan dalam bentuk subsidi untuk hasilkan padi termasuk subsidi baja, racun dan harga padi, kita berpandangan bahawa subsidi itu adalah bantuan diberikan kepada para pesawah.

“Namun, kehilangan kerajaan negeri adalah terhadap hasil peruntukan tanah yang dikekalkan untuk kawasan padi. Tanah bersyarat padi adalah tanah yang paling rendah nilai cukai tanah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |