Kastam rampas minuman keras, ‘energy drink’ RM1.67 juta

2 weeks ago 17

PETALING JAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya melumpuhkan kegiatan penyeludupan minuman keras dan dagangan kontena berduti berjumlah RM1.67 juta menerusi tiga serbuan berasingan di Selangor pada 9 Januari lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail berkata, seramai tiga lelaki warga China dan seorang lelaki warga Myanmar berusia antara 30 hingga 45 tahun ditahan selepas disyaki terlibat dengan sindiket terbabit.

Menurutnya, kesemua serbuan dilaksanakan pasukan Operasi dan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit 1 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).

“Serbuan pertama kira-kira pukul 11.30 pagi membabitkan sebuah gudang di kawasan perindustrian Balakong.

“Pemeriksaan menemukan 2,488 liter minuman keras pelbagai jenama berjumlah RM157,716 dengan anggaran nilai cukai dan duti RM241,000,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam, di sini hari ini.

Menurut Norlela, serbuan kedua melibatkan sebuah lagi gudang persendirian di Taman Bukit Belimbing, Seri Kembangan.

Katanya, serbuan pukul 1.30 petang itu menjumpai minuman keras sebanyak 7,804 liter berjumlah RM310,680 dengan nilai duti RM717,450.

“Kita percaya dua premis ini mempunyai kaitan kerana memiliki modus operandi sama dengan menyewa gudang pada harga RM6,500 sebulan bagi menyimpan bekalan sebelum diedar ke pasaran tampatan.

“Sindiket ini dipercayai sudah beroperasi sejak awal Disember tahun lalu berdasarkan tarikh sewaan gudang dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Norlela berkata, JKDM turut berjaya mematahkan cubaan membawa masuk produk minuman tenaga berduti melalui penahanan sebuah kontena di Pelabuhan Klang.

Kata Norlela, serbuan sekitar pukul 11.45 pagi itu menemui 24,600 liter produk disyaki minuman tenaga yang mengandungi gula dengan anggaran nila sebanyak RM172,200.

“Siasatan awal mendapati dagangan diikrarkan menggunakan kod tarif minuman tidak bergula bagi mengelak cukai dan duti dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

“Keseluruhan nilai rampasan ketiga-tiga serbuan melibatkan 34,892 liter minuman keras dan tenaga dianggarkan bernilai RM1,678,504,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |