GUA MUSANG – Masyarakat Orang Asli di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Pos Pasik di sini terpaksa mencatu bekalan makanan selepas banyak tanaman yang diusahakan di kebun mereka dirosakkan tiga ekor gajah liar sejak kebelakangan ini.
Menurut penduduk, kejadian itu menyebabkan tanaman seperti padi bukit, ubi kayu dan pisang banyak yang musnah selain ada yang takut untuk keluar bekerja sehingga menjejaskan sumber makanan harian.
Seorang penduduk dari Kampung Simpang, Benarih Atom, 40, berkata, masalah gangguan gajah liar itu sudah berlarutan sejak lebih dua tahun lalu.
“Tanaman yang kami usahakan sebagai sumber makanan termasuk padi bukit semua dimusnahkan oleh gajah liar. Kami kini kekurangan sumber makanan dan terpaksa mencatu makanan bagi memastikan keperluan keluarga mencukupi.
“Sarapan pagi kami hanya air teh ‘o’ kerana tiada ubi untuk dimakan. Beras pula terpaksa dijadikan bubur bagi mencukupkan keperluan ahli keluarga,” katanya.
Pengerusi Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli RPS Pos Pasik, Jimi Arifin berkata, setakat ini beberapa kampung terlibat dalam pencerobohan gajah seperti Kampung Simpang, Kampung Sugi, Kampung Pasik dan Kampung Ayong.
Katanya, penduduk juga sepakat membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatan dan mengharapkan tindakan daripada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Sudah banyak kali penduduk terserempak gajah liar yang berkeliaran ketika dalam perjalanan untuk menghantar anak ke sekolah pada waktu pagi.
“Kami harap tindakan segera dapat diambil bagi membantu menangani masalah ancaman gajah yang berlarutan sejak sekian lama dan semakin serius apabila kami tiada lagi sumber pendapatan dan makanan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani mengharapkan Perhilitan dapat mengambil tindakan segera bagi menangani masalah gangguan gajah liar yang menimbulkan kebimbangan penduduk.

3 hours ago
3





![[VIDEO] Penangan Sara…habis licin sosej, nuget](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/SARA-BELANJA-TULAR-VIRAL.jpeg)
![[VIDEO] ‘Minggu depan sayur, ikan tak ada, kasi settle minggu ini’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/TULAR-VIRAL-IKAN-PASAR.jpeg)









































