KOTA TINGGI – “Jangan sampai membunuh kalau tidak puas hati pun, ada cara lain boleh diselesaikan,” luah Norashikin Mohammad, 26, adik kepada lelaki mangsa bunuh yang mayatnya ditemui dalam but kereta Proton Waja dalam semak di tepi jalan di Kilometer 26 Jalan Jemaluang-Kahang, Mersing, semalam.
Norashikin berkata, dia sekeluarga tidak dapat menerima pemergian abangnya, Shakirin Mohammad, 28, yang dibunuh secara kejam oleh individu yang tidak mempunyai hati perut.
Menurutnya, abangnya yang merupakan pemandu lori Scania keluar rumah dengan menaiki Proton Waja berkenaan kira-kira pukul 5 petang, tanpa memberitahu pergi ke mana, tetapi dia sempat melihat status WhatsApp abangnya yang mengemaskini berada di Cameron Highlands membuatkan dia tidak berasa curiga.
“Kami memang sedih, tidak boleh terima pemergiannya cara begini. Kami mahu keadilan buat arwah. Abang pernah berkahwin, namun berpisah kira-kira setahun lalu dan tidak mempunyai anak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Felda Pasak di sini hari ini.
Dalam pada itu, Norashikin yang tinggal di Pasir Gudang di sini berkata, abang sulungnya itu pernah berkahwin, namun berpisah kira-kira setahun lalu dan tidak mempunyai anak.
“Polis beritahu, abang dipercayai dibunuh di tempat lain, mungkin di Johor Bahru, kemudian dibawa ke Mersing. Kawan abang ada beritahu abang pernah diugut oleh suspek. Difahamkan, suspek adalah bekas suami kepada wanita yang abang sedang berkawan.
“Setahu kami, wanita itu janda, sebab itu kami tak kisah kalau mereka nak berkahwin, tetapi polis maklum pada kami, mereka baru bercerai bulan ini,” katanya.
Terdahulu, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira pukul 8 malam selepas disolatkan di Masjid Felda Pasak. Kira-kira 50 ahli keluarga, saudara mara dan rakan Allahyarham hadir bagi memberi penghormatan terakhir.-KOSMO! ONLINE