‘Jarang berhubung, saya harap urusan dia dipermudahkan’

1 day ago 6

PETALING JAYA – “Saya harap apa sahaja proses yang dia lalui akan dipermudahkan.”

Demikian respons ringkas pelakon dan penyanyi Dafi yang hanya mampu mendoakan segala urusan bekas abang iparnya iaitu Datuk Jovian Mandagie bagi memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipermudahkan.

Dafi atau nama lengkapnya Gadaffi Ismail Sabri, 37, memaklumkan bahawa dia bukan individu yang layak untuk mengulas isu tersebut memandangkan tidak mahir dalam bidang politik.

“Saya tak boleh nak komen sebab tidak berapa pasti apa situasi dia dan saya pun jarang berhubung dengan dia.

“Lagipun saya tak berapa tahu fasal perkara itu. Saya sebenarnya mengambil pendekatan tidak terlibat atau ambil tahu perkara melibatkan hal politik kerana bukan dunia saya.

“Jadi, tak sesuai untuk saya berkata apa-apa,” katanya kepada Kosmo! Online semasa malam gala tayangan filem terbaharu lakonannya berjudul Martabat Misi Berdarah, semalam.

Sebagai individu pernah rapat, bintang kelahiran program realiti Akademi Fantasia musim kelima itu berharap Jovian akan memudahkan urusan bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan bapanya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya berharap begitu (bagi kerjasama). Saya tak boleh bercakap bagi pihak dia, kena tanya dia,” ujarnya pendek.

Ditanya kali terakhir berhubung dengan Jovian, Dafi mengakui hanya berkomunikasi mengenai anak buahnya, Jeanelle Nika Mandagie.

“Tidak ingat tetapi tidak lama sangat sebab anak buah ada. Dengan saya pun ada bertanya khabar.

“Alhamdulillah, semua tenang dan baik,” jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM akan mengambil keterangan bekas menantu bekas Perdana Menteri Malaysia, Ismail Sabri Yaakob di Jakarta, Indonesia.

Menurut sumber, keterangan pereka fesyen berusia 39 tahun itu akan direkodkan di satu lokasi di Jakarta memandangkan dia menetap di sana.

Dalam sidang akhbar sebelum ini, Ketua Pesuruhanjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, Jovian merupakan saksi yang dinamakan Ismail Sabri ketika direkod keterangan untuk mengesahkan aset yang diisytihar kepada SPRM.

SPRM dilaporkan dalam proses menganalisis semua aset terbabit kerana sumber pendapatan Ismail Sabri terlalu banyak  terutama sewaktu berkhidmat dalam pelbagai sektor termasuk swasta selain memiliki beberapa syarikat ketika bukan anggota pentadbiran.

Ahli Parlimen Bera itu disiasat antara lain membabitkan perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia sepanjang tempoh pentadbirannya sebagai Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Kes berkenaan disiasat mengikut peruntukan di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |