PETALING JAYA – “Cuba anda semua ambil apa yang penting je dulu, jangan borong macam esok kiamat.”
Demikian teguran seorang pengguna TikTok, @Urgirl, yang meluahkan rasa kurang senang dengan sikap segelintir penerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di bawah platform MyKasih yang dikatakan membeli secara berlebihan hingga menyukarkan orang lain.
Menerusi satu hantaran, individu tersebut menasihatkan agar penerima bantuan lebih berhemah dalam berbelanja dan tidak mementingkan diri sendiri, terutamanya dalam tempoh awal ketika ramai masih menunggu gaji.
“Bayangkan orang-orang belakang pun terdesak, sampai giliran mereka, sistem tergenda. Ambil apa yang korang betul-betul perlu je, bagi peluang orang lain juga untuk beli,” katanya.

Menurutnya lagi, tempoh penebusan bantuan berlangsung sehingga hujung Disember, jadi tiada keperluan untuk memborong berlebihan seolah-olah tiada hari esok.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan sistem MyKasih mengalami gangguan pada hari pertama pelaksanaan bantuan SARA apabila ramai pengguna tidak dapat membuat pembelian ekoran sistem yang terlalu sesak.
Kementerian Kewangan dalam kenyataannya berkata, lebih 850,000 penerima berjaya membuat pembelian dengan jumlah transaksi mencecah lebih RM50 juta hanya pada hari pertama, sekali gus menyebabkan kelewatan dalam pemprosesan.- KOSMO! ONLINE.