Jaminan operasi Aerotrain lebih baik, insiden masalah teknikal tidak berulang

6 hours ago 5

SEPANG- Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memberi jaminan insiden teknikal yang menyebabkan sistem aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terpaksa dihentikan sementara baru-baru ini tidak akan berulang.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd. Izani Ghani berkata, kejadian tersebut berlaku susulan peningkatan paras air di dalam terowong laluan aerotrain yang mengaktifkan sistem keselamatan automatik, sekali gus menghentikan pergerakan tren.

“Kejadian berlaku selama hampir sejam apabila masalah sistem mengesan peningkatan air disebabkan cuaca hujan pada pagi hari berkenaan.

“Sistem automatik telah memberikan isyarat amaran kerana terdapat pancaran cahaya dan pantulan yang mencurigakan dalam terowong, menyebabkan tren berhenti serta-merta atas faktor keselamatan,” katanya pada sesi taklimat media di sini, hari ini.

Baru-baru ini, perkhidmatan Aerotrain dihentikan sementara susulan takungan air di terowong laluan tren akibat hujan lebat.

Insiden itu berlaku apabila satu daripada pam saliran di terowong itu mengalami kerosakan teknikal, sekali gus menyebabkan air bertakung tidak dapat disalirkan secara automatik.

Sistem saliran terowong itu dilengkapi dengan pam yang direka untuk mengendalikan air semasa cuaca buruk.

Menurut beliau, sejak itu, pasukan teknikal MAHB telah meningkatkan sistem kawalan air dan menaik taraf keupayaan pengaliran di dalam terowong sebagai langkah jangka panjang.

“Kami telah menambah baik sistem pengaliran bagi memastikan insiden seperti ini tidak berulang, walaupun berlaku hujan lebat atau peningkatan air secara mendadak,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya komited untuk memastikan sistem pengangkutan dalam KLIA terus beroperasi lancar demi keselesaan dan keselamatan para penumpang.

Operasi Aerotrain di KLIA disambung semula mulai 1 Julai lalu selepas 28 bulan tertangguh melalui proses naik taraf bernilai RM456 juta. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |