JOHOR BAHRU – Mangsa buli yang mengalami kecederaan gegaran otak selepas didakwa dipukul, Izzul Islam Azuan Isaidi, 10, kini trauma sehingga mengalami mimpi buruk
Ibu mangsa, Siti Suhana Misdi, 39, berkata, anak keempat enam beradik itu turut sering menangis pada waktu malam selepas terjaga daripada tidur.
“Selepas kejadian dia (Izzul Islam) sikap dia berubah sering menyendiri dan kadang-kadang kalau dia bersendirian akan menangis.
“Dia mengalami trauma teruk sampai tidur malam pun dia mimpi perkara buruk, tidur pun dia nangis bila saya tanya kenapa dia cakap mimpi takut, jumpa hantu jumpa orang menakutkan,” katanya ketika ditemui di Hospital Pakar Puteri, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Siti Suhana berkata, anaknya turut berdepan perasaan takut untuk ke sekolah bimbang kejadian buli ke atas dirinya berulang kembali.
Katanya, Izzul Islam akan berasa selamat jika dua rakannya hadir ke sekolah dan sekolah agama.
“Kalau dua rakan rapat anak saya ke sekolah, dia akan gembira dan rasa selamat, kalau kedua-dua mereka tak datang, dia akan rasa takut,” katanya.
Dalam pada itu, ibu kepada enam cahaya mata itu berkata, dia bertindak tampil membuat laporan polis kerana mahu menegakkan keadilan buat Izzul Islam.
“Selepas isu kes buli Izzul Islam viral dan mendapat perhatian media, saya amat bersyukur apabila ramai yang tampil memberi sokongan supaya terus berjuang untuk menegakkan keadilan supaya kes buli di sekolah harus dihentikan.
“Saya mendapat kekuatan untuk terus tegakkan keadilan untuk dia, saya yang melahirkan, jaga dia, sebagai seorang ibu akan berjuang untuk memastikan anak-anak membesar dengan baik dan selamat.
“Saya jaga dia, saya nak lukakan dia pun tak pernah, tak pernah pun pukul dia, Izzul ni tak pernah susahkan saya, walau dia tahu kehidupan kami sekeluarga susah, saya cakap tak apa Izzul mak akan berjuang untuk pastikan Izzul sihat,” katanya. -KOSMO! ONLINE