GEORGE TOWN – Kartunis terkenal, Mohd. Azmi Mohd. Hussin, 41 dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung selepas rebah dan tidak sedarkan diri di sebuah klinik swasta di Air Itam, di sini petang semalam.
Bapa kepada tiga orang anak sebelum itu mengadu sakit dada dan penat selepas berkunjung ke bazar Ramadan bersama isteri dan anak sulung berusia 17 tahun.
Rakan baiknya, Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan, 42, berkata, Azmi kemudiannya dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas beberapa kali diberi bantuan pernafasan (CPR) di klinik berkenaan.
“Bagaimanapun doktor memaklumkan yang dia sudah meninggal dunia sebelum tiba di hospital. Jenazah baru selesai dibedah siasat pada pukul 11 pagi tadi dan sedang dimandi serta dikafankan di hospital.
“Doktor telah mengesahkan yang kematiannya akibat serangan jantung. Jenazah akan disembahyang dan dikebumikan di Masjid Hashim Yahya di Jalan Perak selepas solat Zohor nanti,” katanya kepada Kosmo! di sini tadi.
Beritahu Rizwan, kali terakhir mereka berbual menerusi WhatsApp pada Isnin lalu dan Allahyarham ada mengirimkan hasrat untuk menyalurkan infaq di Tanah Suci Mekah selain membuka sebuah galeri yang menghimpunkan semua karya seninya.
“Arwah tahu yang saya akan mengerjakan umrah pada bulan ini dan dia ada beritahu mahu kirimkan duit di sana.
“Memang berasa sedih kerana kami sudah mengenali dengan rapat sejak lebih 10 tahun lalu,” ujarnya Allahyarham Azmi merupakan ahli jawatankuasa Pertubuhan Komuniti India Muslim Malaysia (IMCOM).
Allahyarham memulakan kerjaya sebagai artis karikatur jalanan pada usia 29 tahun dan pencapaian terbesarnya adalah menghasilkan buku komik keduanya bertajuk ‘The Little Mamak’ pada tahun 2016 dan tersenarai antara 50 buku terbaik di Malaysia oleh Majlis Buku Negara.
Buku komik terakhirnya adalah ‘Tanjong Life: Back to the 90’s yang dihasilkan pada tahun 2022.
Beliau pernah mewakili negara ke Pesta Buku di Frankfurt, Jerman dan pernah menerima pengikhtirafan dalam Malaysia Book Of Record iaitu Most Caricature Live Painting in 24 Hours’ dengan melukis 320 karikatur selama tempoh 24 jam pada tahun 2017.