Hebat dalam kepimpinan, Alif ‘jaga’ 17 kolej kediaman

2 days ago 10

SEJAK di bangku sekolah, Muhammad Alif Najmi Mohd Sedi, 23, merupakan seorang pelajar yang aktif menyertai pelbagai program seperti debat dan pada masa sama bijak menyusun waktu untuk kekal cemerlang dalam pelajaran.

Perkara tersebut diteruskan oleh Muhammad Alif Najmi atau lebih mesra disapa Alif ketika menyambung pengajian ke menara gading.

Namun, kedatangan Covid-19 ketika dia berada pada tahun pertama pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak membuatkan Alif berasa hilang sebahagian dirinya.

Alif yang dahulunya aktif menyertai pelbagai aktiviti tidak lagi bebas berbuat demikian ekoran wabak maut itu sehingga dia merasakan sangat kecewa, hilang keyakinan diri dan kemahiran insaniah juga semakin berkurang.

“Syukur Covid-19 berakhir ketika saya di tahun kedua pengajian lantas membuatkan saya kembali bersemangat dengan menyertai pelbagai program universiti, kesukarelawanan, persatuan dan kepimpinan.

“Bermula dari situ saya diberi kepercayaan untuk memegang pelbagai jawatan dalam persatuan, universiti, fakulti dan juga kolej kediaman,” katanya yang merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda dalam Bahasa Arab dan Kesusasteraan (Kepujian), Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (IRKHS), UIAM.

Bercerita mengenai aktiviti sukarelawan yang disertainya, Alif berkata, dia pernah mengikuti misi bantuan banjir di Selangor dan menyantuni Orang Asli termasuklah mendedahkan anak-anak mereka dengan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

PADA masa hadapan Alif mahu membuka perniagaan hartanah.

Akui Alif, mengikuti program kesukarelawanan membuatkan dia berasa sangat sebak melihat kehidupan mereka yang diuji dengan kesusahan sehingga menerbitkan rasa syukur dan beruntung dengan kehidupannya.

Dalam pada itu, nilai kepimpinan yang tinggi di dalam dirinya membuatkan anak ketiga daripada tujuh beradik ini diberi kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai Presiden Kolej Kediaman (Mahallah) As-Siddiq dan pada masa sama dilantik sebagai Pengerusi Majlis Presiden Mahallah UIAM.

Ujar pemuda yang berasal dari Kok Lanas, Kelantan itu, tanggungjawabnya sangat besar kerana bukan sahaja perlu memberi perhatian kepada Mahallah As-Siddiq tetapi juga kepada 17 mahallah di UIAM di samping bergiat aktif dalam program-program anjuran universiti dan fakulti.

“Walaupun kehidupan saya sangat sibuk dengan pelbagai aktiviti kepimpinan dan kesukarelawanan serta sebagai pelajar, tetapi saya tidak berasa terbeban kerana melakukan dengan minat.

“Malah, ia membuatkan kita lebih matang, meningkatkan kemahiran insaniah dan juga nilai empati dalam diri serta memandang kehidupan dari sudut berbeza,” kata Alif yang juga merupakan penerima Anugerah Emas Projek Membangun Minda Keusahawanan Muda di Simposium Tindakan Universiti Ke-3.

ALIF (tiga dari kanan) bukan sahaja cemerlang akademik tetapi aktif dalam kepimpinan dan kesukarelawanan.

Pada ketika ini, Alif juga menggalas tugas sebagai Penyelaras Pelajar secara sambilan di Pejabat Timbalan Rektor Pembangunan Pelajar & Penglibatan Komuniti UIAM yang membantu dalam pentadbiran serta media digital.

Dia juga bekerja sambilan di sebuah syarikat yang menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti memberi sumbangan daging korban, membina masjid dan sumber air untuk penduduk di negara-negara yang memerlukannya.

Ditanya perancangan pada masa akan datang, Alif yang meminati aktiviti mendaki dan mengembara memberitahu dia mahu melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kewangan Islam.

“Pada masa akan datang, saya juga mahu bergiat aktif dalam bidang kesukarelawanan yang sudah sebati dalam diri dengan menyertai mana-mana badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Saya juga bercita-cita mahu membuka perniagaan hartanah yang berkaitan dengan sewaan premis,” katanya yang berpegang kepada prinsip hidup, melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh.

Read Entire Article
Pertanian | | | |