WASHINGTON – Negeri Florida merancang membatalkan semua mandat vaksin, yang mewajibkan kanak-kanak menerima suntikan pelalian terhadap penyakit seperti polio jika mahu bersekolah di sekolah awam, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.
Jika hasrat itu menjadi realiti, Florida akan menjadi negeri pertama di Amerika Syarikat (AS) membatalkan semua mandat vaksinnya.
Pegawai kesihatan tertinggi Florida, Dr. Joseph Ladapo menyamakan program vaksinasi dengan perhambaan ketika mengumumkan rancangan itu.
“Siapa saya untuk memberitahu anda apa yang anak anda patut masukkan ke dalam badannya?Tubuh manusia adalah anugerah daripada Tuhan,” kata Ladapo.
Pegawai-pegawai kesihatan Florida bagaimanapun tidak memberikan garis masa atau butiran lanjut mengenai pemansuhan mandat tersebut.
Mandat vaksini sebahagiannya boleh dimansuhkan melalui undian di Kongres negeri yang kini dikuasai Parti Republikan, manakala yang lain boleh dibatalkan oleh jabatan kesihatan negeri.
Wakil rakyat Parti Demokrat, Anna Eskamani, mengecam rancangan untuk menamatkan semua mandat vaksin sebagai tidak bertanggungjawab dan berbahaya.
“Tindakan Ini adalah bencana kesihatan awam yang sedang menunggu untuk berlaku,” katanya di platform X.
Buat masa ini, semua pelajar di Florida wajib menerima vaksin bagi mencegah pelbagai penyakit termasuk cacar air, hepatitis B, demam campak, beguk dan polio.
Persatuan Pendidikan Florida iaitu sebuah kumpulan mewakili lebih 120,000 guru dan pentadbir sekolah turut mengecam langkah tersebut dengan berkata, pegawai-pegawai kesihatan mahu menjadikan sekolah tempat tidak selamat.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menyelamatkan sekurang-kurangnya 154 juta nyawa, kebanyakannya bayi sejak 50 tahun lalu. – AGENSI