F1: Tiket Madani GP Bahrain habis dijual

16 hours ago 7

SEPANG – Tiket Madani yang diperuntukkan sebanyak 10,000 keping bagi perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Oktober depan sudah habis dijual.

Pengumuman itu dibuat Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari dengan tiada penambahan kuota tiket tersebut dibuat setakat ini, namun mengakui ada kemungkinan penyediaan tiket Madani tambahan di lokasi bersesuaian.

“Setakat ini belum ada penambahan dan tiket itu sudah habis terjual semuanya. Untuk tiket Madani sahaja, sebanyak 10,000 tiket diperuntukkan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Pendaftaran Sukarelawan Rakan Muda sempena penganjuran GP Bahrain di Malaysia hari ini.

Jelas beliau, tiket bagi perlumbaan yang berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober depan itu dikatakan sudah hampir habis dijual, termasuk tiket Madani yang diperuntukkan kepada rakyat Malaysia.

Setakat ini, sebanyak 85,000 keping tiket, termasuk tiket Madani sudah dijual dengan 27,000 daripadanya dalam tempahan.

“Berkaitan tiket Madani ini, kita cuba melihat sekiranya ada penambahan di tempat-tempat yang boleh dipertimbangkan dalam masa terdekat,” ujar Taufiq.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membuka peluang kepada 1,000 rakyat Malaysia untuk menyertai program sukarelawan Rakan Muda bagi penganjuran F1 dan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di SIC bulan depan.

Daripada jumlah 1,000 berkenaan, 500 sukarelawan akan ditugaskan untuk perlumbaan F1, manakala 500 lagi bakal terlibat dengan saingan MotoGP yang turut berlangsung di Sepang hujung Oktober nanti.

“Permohonan ini akan dibuka bermula 2 September 2026 secara dalam talian melalui platform sistem MyProfil di bawah Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES),” katanya.

Tambah Taufiq, sukarelawan akan ditempatkan dalam empat skop utama, iaitu perkhidmatan pelanggan, tiket dan kemasukan, perhubungan atau penyambut tetamu serta pengurusan kawasan MADANI. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |