PETALING JAYA – Parti Bersama Malaysia (Bersama) bakal membentangkan Belanjawan Bayangan 2027 pada 6 Oktober ini sebagai usaha mengembalikan persaingan politik negara kepada pertembungan idea, dasar dan penyelesaian terhadap masalah rakyat.
Pembentangan itu dijadualkan berlangsung tiga hari sebelum Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Bersama dalam kenyataan hari ini berkata, Belanjawan Bayangan itu akan membolehkan orang ramai meneliti cadangan mereka dalam menjajarkan dasar fiskal dan percukaian negara ke arah lebih mampan.
“Pembentangan Belanjawan Bayangan 2027 akan membolehkan orang ramai meneliti cadangan-cadangan BERSAMA untuk menjajarkan dasar fiskal dan percukaian negara ke arah yang lebih mampan.
“Seterusnya, ia membolehkan orang ramai menilai kemampuan pembiayaan dasar dan program-program negara yang terkandung dalam Kertas-Kertas Kancil yang akan dilancarkan,” katanya.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan bagi pihak Bersama oleh Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Syukri Razab itu, Kertas Kancil merupakan kertas dasar yang memperincikan masalah struktur membabitkan ekonomi, politik dan sosial yang memerlukan penyelesaian segera.
Katanya, siri pertama Kertas Kancil akan dilancarkan pada 27 September ini sebelum disusuli Belanjawan Bayangan pada 6 Oktober, manakala siri kedua dan ketiga masing-masing dijadualkan pada 24 Oktober serta 28 November.
“Bersama berharap fokus kepada dasar dan cadangan penyelesaian yang diambil ini akan memberi tekanan kepada parti-parti politik lain untuk bersaing di atas platform dasar, bukannya berlegar dengan isu sentimen semata-mata,” katanya.
Dalam pada itu, Bersama turut mengumumkan enam tokoh sebagai kumpulan pertama yang menganggotai Panel Dasar Bersama bagi memberikan maklum balas dan cadangan balas secara bebas terhadap platform dasar gerakan berkenaan.
Enam individu itu ialah Prof. Madya Dr. Ibnor Azli Ibrahim; pakar perunding perubatan, Dr. Feizal Fakurruddin; pengasas EMIR Research, Datuk Wira Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff; Khoo Kay Peng; Dr. Hamidon Abdul Rahman dan John Lee Von Leon.
Panel berkenaan terdiri daripada individu berlatar belakang pelbagai bidang termasuk ekonomi, kewangan, kesihatan, pendidikan, perundangan Islam, teknologi dan penyelidikan dasar.
Menurut kenyataan itu, para panel akan bekerja rapat dengan kumpulan dasarnya selain memantau secara bebas pembangunan pendirian dasar yang sedang diusahakan.
Setiap siri Kertas Kancil juga akan melalui proses maklum balas bersama Panel Dasar Bersama sebelum rundingan dengan pemegang taruh diadakan.
Draf akhir kertas dasar itu kemudiannya akan dibuka kepada orang ramai untuk mendapatkan maklum balas sebelum dilancarkan secara rasmi. – KOSMO! ONLINE

5 hours ago
6















![[VIDEO] Sia-sia potong reben, jambatan roboh semasa majlis perasmian](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/jambatan-roboh2.jpg)
































