PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengemukakan keterangan tambahan dalam rayuannya berhubung sabitan dan hukuman kes rasuah solar.
Keputusan sebulat suara dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azhahari Kamal Ramli selepas mendapati keterangan tambahan mengenai saksi pendakwaan iaitu Rayyan Radzwill Abdullah boleh memberi kesan material terhadap dapatan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi.
Ia yang mana saksi pendakwaan ke-16 itu akan dipanggil semula untuk pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula lanjut, dengan prosiding tersebut perlu dijalankan dalam tempoh dua minggu selepas pengurusan kes yang seterusnya.
Keterangan baharu itu termasuk satu akuan berkanun oleh Rayyan, saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan Rosmah serta keterangan lisan lanjut beliau.
Mahkamah memerintahkan supaya keterangan tambahan itu dikemukakan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang berbeza.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah ialah Datuk Dr. Choo Kah Sing dan K.Muniandy.
Justeru dengan keputusan itu tarikh-tarikh bagi pendengaran rayuan yang ditetapkan sebelum ini dilapangkan.
Terdahulu, Rosmah memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan untuk mengemukakan keterangan baharu dalam rayuannya.
Dalam notis usul bertarikh 21 Julai, Rosmah memohon kebenaran mengikut Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, serta Kaedah 68 dan 69 Kaedah-kaedah Mahkamah Rayuan 1994, untuk mengemukakan tiga dokumen tambahan sebagai keterangan semasa pendengaran rayuannya.
Sementara dalam afidavit sokongan permohonan itu, Rosmah mendakwa saksi pendakwaan Rayyan Radzwill Abdullah ditekan memberikan keterangan bagi menunjukkan bahawa beliau bersalah ketika dibicarakan.
Beliau mengemukakan surat iringan daripada Tetuan Shamsuddin & Co bertarikh 10 Julai serta satu laporan polis dibuat Rayyan pada hari sama selain akuan berkanun yang diikrarkan Rayyan pada 10 Julai, bersama lampirannya, termasuk afidavit tambahan bertarikh 3 Ogos 2020.
Pada masa sama, Rosmah juga memohon kebenaran memanggil semula Rayyan bagi memberikan keterangan lanjut sama ada di Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi.
Sekiranya dibenarkan, beliau mahu keterangan lisan tambahan saksi itu direkodkan dan diterima sebagai bukti baharu dalam rayuan. – KOSMO! ONLINE

1 hour ago
2















































