Zainol Fadzi kekal Ketua Whip Pembangkang DUN Perak

1 hour ago 2

IPOH – Penyertaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dalam Parti Wawasan Negara (Wawasan) tidak menjejaskan kedudukannya sebagai Ketua Whip Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, pihaknya telah mendapatkan pengesahan daripada pihak pembangkang berhubung perkara berkenaan.

Katanya, kedudukan tempat duduk Zainol Fadzi dalam persidangan DUN Perak juga kekal seperti sedia ada tanpa sebarang perubahan.

“Setakat ini, tiada permohonan untuk mengubah susunan tempat duduk atau kawasan tempat duduk di DUN Perak,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Sidang Media DUN Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Menerusi laporan media pada Jun lalu, Zainol Fadzi mengumumkan penyertaannya dalam Parti Wawasan selepas empat bulan dipecat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau merupakan antara 17 pemimpin Bersatu yang dipecat keahlian mereka oleh Lembaga Disiplin parti itu, atas dakwaan melakukan sabotaj terhadap parti.

Sementara itu, mengulas mengenai persidangan DUN Perak kali ini, beliau berkata, Mesyuarat Kedua Tahun Keempat Dewan Negeri Perak yang ke-15 itu berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 September depan.

“Seperti kelazimannya, persidangan berkenaan turut menyaksikan sesi soalan lisan yang akan berlangsung selama 90 minit.

“Pada persidangan kali ini, kerajaan negeri dijadual membentangkan dua Rang Undang-Undang (RUU) iaitu Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) 2026 serta Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) (Pindaan) 2026, yang akan dibawa oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, terdapat satu usul yang akan dibawa oleh Menteri Besar, iaitu Usul Pemilihan Ahli Dewan Negara.

“Dua calon yang dikemukakan ialah Pengerusi PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri dan Ketua Dewan Ulama PAS Perak, Ibrahim Zakaria,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |