‘Negara lain boleh Malaysia tak boleh ke?’

2 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Keluarga rak­yat Malaysia yang gagal dihubungi sejak kejadian banjir lumpur di sempadan Tibet – Ne­pal, ming­gu lalu melahirkan ke­kecewaan susulan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) masih belum mendapat ‘lampu hijau’ untuk memasuki negara berkenaan.

Wakil keluarga, Dr. Manivannan Rethinam berkata, kelewatan prosedur oleh kerajaan Nepal amat membimbangkan memandangkan kejadian sudah genap seminggu, sekali gus tempoh kri­tikal untuk menemui mangsa dalam keadaan selamat semakin tipis.

Katanya, berdasarkan maklumat diterima, kerajaan Nepal setakat ini hanya membenarkan pasukan penyelamat dari beberapa negara berdekatan membantu operasi pencarian.

“Kami amat kecewa kerana ini melibatkan nyawa, bukan seorang atau dua tetapi ramai. Saya rasa kerajaan Nepal ada keka­ngan tersendiri tetapi bagi kami sebagai ahli keluarga, kami amat kecewa kerana ini melibatkan nyawa.

“Bagi saya, alasan itu sukar untuk kita terima kerana mangsa kalau dihanyutkan atau terkandas di sesuatu tempat, tempoh untuk mereka bertahan biasanya sekitar lima hingga tujuh hari,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Manivannan berkata, adiknya Komathi Rethinam, 48, ke negara berkenaan untuk upacara keagamaan ke Gunung Kailash di Tibet, China.

Dalam pada itu, katanya, kea­daan semakin membimbangkan apabila kawasan kejadian terletak di lokasi terpencil selain tiada kepastian mengenai nasib mangsa yang mungkin terpe­rangkap di dalam bangunan atau diha­nyutkan ke kawasan lain.

MANIVANNAN

Jelasnya, keluarga dimaklumkan Kementerian Luar dan Kedutaan Malaysia di Nepal telah menghubungi rakan sejawat di negara tersebut namun sehingga kini masih belum ada sebarang keputusan berhubung operasi mencari dan menyelamat.

“Berita ini agak mengecewakan kerana kita tahu golden time untuk mencari mangsa amat penting. Negara lain boleh ma­suk, tetapi kenapa Malaysia masih belum dibenarkan?

“Itu yang membuatkan kami tertunggu-tunggu dan sedikit rasa seperti terabai kerana ma­sa semakin suntuk. Kami harap kerajaan dapat mempercepatkan lagi proses diplomasi ini,” katanya.

Manivannan berkata, sekiranya mangsa tidak dapat ditemukan dalam keadaan selamat, keluarga sekurang-kurang­nya ma­hu jasad mereka ditemukan bagi membolehkan proses pengecaman identiti dilakukan termasuk menerusi DNA dan cap jari.

“Bagi kami sebagai keluarga, yang penting ialah kami tahu apa yang berlaku kepada mereka. Harapan kami ialah kerajaan Malaysia dapat melakukan sesuatu dengan secepat mungkin,” kata­nya.

Sementara itu, wakil keluar­ga lain, Sobana Itharaji yang ke­hilangan sepupu, Prabha ber­kata, pihaknya kecewa kerana sehingga kini mereka tidak diberikan penjelasan terperinci me­ngenai punca penangguhan pa­sukan SMART.

Katanya, keadaan itu menye­babkan keluarga semakin keliru apabila menerima pelbagai maklumat berhubung bantuan yang dibenarkan masuk ke Nepal, sedangkan masa untuk mencari mangsa terus berlalu.

Jelasnya, keluarga juga semakin bimbang apabila usaha pencarian oleh ejen pelancongan mereka di Nepal berdepan kesukaran termasuk faktor cuaca dan masalah untuk menghubungi pi­hak di kawasan terjejas.

“Harapan semakin tipis. Kalau mereka masih hidup, sudah berhari-hari tanpa air dan makanan. Semua ahli keluarga sudah hampir enam hari tidak tidur dan kami semakin bimbang serta hampir berputus harapan,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |