JAKARTA – Gunung Sinabung di wilayah Sumatera Utara, Indonesia meletus lagi pada pagi Rabu ketika lebih 600 penduduk dipindahkan susulan peningkatan aktiviti gunung berapi.
Menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), letusan bermula pada 7.20 pagi waktu tempatan dengan lajur abu menjulang kira-kira 1,000 meter dari puncak atau kira-kira 3,460 meter dari aras laut.
“Lajur abu dilihat berwarna kelabu hingga perang, tebal dan bergerak ke arah timur serta tenggara. Ketika laporan ini disediakan, letusan masih berlaku,” menurut laporan itu.
Tahap aktiviti Sinabung dinaikkan daripada Tahap II (Waspada) kepada Tahap III (Siaga) pada 12.30 tengah hari Isnin selepas pemantauan visual dan menggunakan instrumen menunjukkan peningkatan aktiviti gunung berapi.
Peningkatan tahap amaran itu dibuat susulan letusan pada awal hari berkenaan yang memuntahkan abu kira-kira 3.5 kilometer dari puncak atau kira-kira 5.96 kilometer dari aras laut, dengan pihak berkuasa memberi amaran bahawa aktiviti gunung berapi berkemungkinan terus meningkat.
Susulan peningkatan aktiviti itu, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) pada Rabu berkata seramai 615 penduduk daripada 211 keluarga di Kuta Tengah telah dipindahkan ke pos tindak balas kecemasan, dengan kampung berkenaan antara kawasan yang dikenal pasti berisiko berhampiran gunung berapi itu.
Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Kebencanaan BNPB Berton Panjaitan berkata zon bahaya diperluas berdasarkan saranan Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral.
“Penduduk dan pengunjung tidak dibenarkan menjalankan sebarang aktiviti di kawasan kampung yang telah dikosongkan, dalam lingkungan tiga kilometer dari puncak serta sehingga enam kilometer ke arah tenggara,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Situasi itu turut mendorong Konsulat Jeneral Malaysia di Medan pada Selasa menggesa rakyat Malaysia yang berada atau menuju ke Kabupaten Karo supaya terus berwaspada, mengelakkan kawasan sekitar Gunung Sinabung dan mematuhi arahan pihak berkuasa Indonesia. – Bernama

2 hours ago
2









![[VIDEO] Sia-sia potong reben, jambatan roboh semasa majlis perasmian](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/jambatan-roboh2.jpg)






































